malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Adakah Johari salahkan Najib bagi 'penyelesaian' 1MDB?
ADS

SUARA MP l Dalam satu ulasan eksklusif kepada Malaysiakini semalam, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti bahawa Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI), sebuah entiti yang diperbadankan di Kepulauan British Virgin yang menerima bayaran AS$3.51 bilion daripada 1MDB, adalah anak syarikat milik International Petroleum Investment Corporation (IPIC) Abu Dhabi.

"Setakat saya tahu, berdasarkan rekod oleh 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum perjanjian penyelesaian, Aabar Investments PJS Ltd (BVI) adalah anak syarikat IPIC.

"Fakta itu disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat di Kepulauan British Virgin melalui surat bertarikh 11 Ogos 2016," kata Johari kepada Malaysiakini.

Persoalannya, jika apa yang didakwa itu sebagai "bukti" yang tidak boleh dipertikaikan, maka adalah benar-benar tidak masuk akal untuk tunduk dan menyerahkan AS$3.5 bilion, atau lebih daripada RM15 bilion, berdasarkan kadar pertukaran hari ini.

Sebalik daripada bertindak berani dengan keyakinan akan memenangi timbang tara yang dipohon IPIC itu, menteri kewangan kedua berkata beliau tidak terbabit dalam rundingan penyelesaian berkenaan pada satu sidang media semalam.

Skop lebih besar

Johari kini membuat satu pusingan U lengkap, dengan mendakwa bahawa kerajaan memutuskan untuk melihat dari "skop lebih besar”.

"Kerajaan melihat kepada skop yang lebih besar, dari segi hubungan antara Malaysia dan Abu Dhabi. Rundingan bagi penyelesaian itu dibuat antara 1MDB dan pejabat Perdana Menteri," katanya.

Malah, menteri kewangan kedua itu secara tidak langsung menyalahkan Najib.

“Perdana Menteri telah membuat keputusan untuk negara," katanya.

Tetapi itulah apa yang sebenarnya membimbangkan rakyat - bahawa perdana menteri membuat keputusan yang dirinya sendiri terpalit.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dan disokong oleh bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan Singapura terhadap tokoh perbankan penyangak, daripada dana yang dipindahkan kepada Aabar (BVI), ('Malaysian Official 1') secara peribadi menerima bayaran AS$30 juta dalam akaun bank peribadinya di AmBank pada tahun 2012.

Lebih memilukan, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz menerima AS$238 juta menerusi kumpulan syarikat Red Granite miliknya. Kira-kira AS$100 juta daripada jumlah yang didakwa itu digunakan untuk menerbitkan filem Hollywood, 'The Wolf of Wall Street' yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

Tujuan sebenar 'penyelesaian'

Sebagai tambahan, tidakkah Johari berminat untuk mengetahui, walaupun "bukti" yang tidak boleh dipertikaikan dalam gengamannya, yang Aabar (BVI) mungkin ditubuhkan secara tidak sah oleh pegawai IPIC - Khadem Al-Qubaishi dan Mohamed Badawy Al-Husseiny, yang kedua-duanya telah dipecat oleh IPIC - bersubahat dengan pegawai 1MDB untuk menipu kedua-dua kerajaan Abu Dhabi dan Malaysia?

Oleh itu soalan yang perlu ditanya adalah sama ada Datuk Seri Najib Razak yang membuat keputusan untuk 'menyelesaikan' pertikaian dengan IPIC - yang menyebabkan liabiliti atau hutang tambahan AS$3.5 bilion kepada rakyat Malaysia - benar-benar untuk kepentingan negara atau, untuk mengelakkan IPIC daripada mendedahkan dan mengesahkan dakwaan pembabitannya dalam seluruh skandal 1MDB.

Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab bagi Johari untuk ‘mencuci tangan’ dengan membiarkan kmenterian kewangan menanggung liabiliti RM15 bilion.

Daripada mendakwa dirinya tidak terbabit dengan rundingan itu, bukankah menteri kewangan kedua sepatutnya berlaku jujur dengan berkata Najib membuat keputusan itu demi kepentingan peribadi?

Pada hakikatnya, "skop lebih besar" adalah cubaan terang-terangan untuk menyelamatkan Najib dan BN daripada kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Jika rundingan itu sesungguhnya tidak membabitkan dirinya, seperti yang diakuinya, maka Johari juga sepatutnya meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua.

[Baca berita penuh]


TONY PUA adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari parti DAP.

Tulisan yang diterjemahkan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen