malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenapa PM tak minat tuntut wang dari 'Aabar palsu'?
ADS

ULASAN International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi melalui satu kenyataan mereka kepada Bursa Saham London telah mengesahkan mencapai persetujuan dan menyelesaikan prosiding timbang taranya dengan 1MDB dan kerajaan Malaysia (MOF Inc) di Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London.

Menurut persetujuan itu:

  • 1MDB akan membayar sejumlah AS$1.2 bilion (RM5.28 bilion) pada dua peringkat iaitu pada bulan Julai dan Disember tahun ini. Bawah syarat penyelesaian, IPIC akan menerima AS$602.7 juta (RM2.64 bilion) pada 31 Julai ini dan selebihnya AS$602.7 juta(2.64 bilion) pada 31 Disember akhir tahun ini.
     
  • 1MDB dan Kementerian Kewangan juga berjanji kepada IPIC untuk membayar bagi semua faedah masa depan dan prinsipal bawah dua bon yang dikeluarkan syarikat kumpulan 1MDB yang dijamin 1MDB dan IPIC. Bon pertama adalah AS$1.75 bilion (RM7.7 bilion) pada kadar tetap 5.75 peratus yang dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited dan kedua sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.7bilion) pada kadar tetap sebanyak 5.99 peratus yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy Limited. Kedua-dua bon hanya akan matang pada 2022.

Persetujuan 1MDB membuat bayaran kepada IPIC jelas menunjukkan syarikat itu mengaku membuat bayaran yang salah kepada satu syarikat yang tiada kaitan langsung dengan IPIC.

Persetujuan arbitrasi yang dicapai antara 1MDB dan IPIC ini juga jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur penipuan apabila 1MDB telah membuat salah pembayaran kepada Aabar BVI.

Bagaimanakah 1MDB telah tersalah bayar wang sebesar itu? Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC – Aabar Investments PJS tetapi sebaliknya pembayaran dibuat kepada Aabar BVI, sebuah syarikat palsu yang mempunyai nama yang hampir sama atau mirip dengan anak syarikat IPIC.

Sebelum ini, pertikaian timbul di antara 1MDB dan IPIC apabila IPIC menyatakan 1MDB tidak pernah membuat apa-apa pembayaran kepada IPIC sebagaimana yang didakwa oleh 1MDB. Inilah yang telah menyebabkan IPIC dan Aabar Investments PJS meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen mereka kepada IPIC.

Abu Dhabi telah berulang kali berkata, IPIC atau anak syarikatnya itu tidak pernah menerima sebarang pembayaran atau deposit dari 1MDB walaupun 1MDB bertegas menyatakan bahawa Aabar BVI adalah anak syarikat Kumpulan IPIC.

Mengapakah pembayaran sebesar ini dibuat kepada sebuah syarikat yang palsu? Mengapakah tidak ada satu pun tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab yang telah membuat pembayaran yang salah ini?

Atau adakah dari awal lagi pembayaran kepada syarikat Aabar yang palsu ini telah dirancang?

Persoalannya, dari manakah sumber kewangan yang akan diperoleh oleh 1MDB dan MOF Inc untuk membayar sebanyak RM26.5 bilion kepada IPIC?

Jika ia menerusi penjualan sebuah unit pelaburan 1MDB bernama Brazen Sky Ltd, siapakah yang membeli unit pelaburan tersebut dan berapakah nilainya? Benarkah unit pelaburan ini wujud?

Mengapakah perdana menteri dan menteri kewangan tidak berminat langsung untuk menuntut semula wang yang telah dibayar kepada syarikat Aabar yang palsu itu?

Perjanjian IPIC adalah dengan 1MDB dan kerajaan Malaysia melalui MOF Inc. Ini bermakna jika 1MDB tidak mampu untuk membuat pembayaran, maka kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kesemua bayaran kepada IPIC.

Walaupun kerajaan Malaysia dalam satu kenyataan mengatakan gembira IPIC dan 1MDB telah dapat menyelesaikan perbezaan mereka secara baik, namun perlu diingatkan rakyat Malaysialah yang akan menanggung beban berganda apabila pembayaran kepada IPIC dibuat sebanyak dua kali.

Bayaran pertama yang dibuat kepada Aabar BVI telah hilang dan lenyap dan kini, bayaran kedua yang akan dilaksanakan dengan termeterainya perjanjian timbang tara ini.

Akhirnya, rakyat, melalui hasil kutipan cukai yang akan dikenakan ke atas mereka bagi meningkatkan pendapatan kerajaan akan terus menanggung masalah kewangan 1MDB.


TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bekas timbalan perdana menteri.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen