malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Berlatarbelakangkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang diramal diadakan tahun ini, parti-parti politik termasuk PAS tentunya menjadikan perhimpunan tahunan parti untuk mencatur strategi politik bagi menghadapi amalan demokrasi yang menjadi penentu pemerintahan negara.

Pemerhati politik, terutama sekutu dan seteru parti, tentunya mengikuti teliti perkembangan Muktamar PAS ke-63, bermula Khamis ini bagi melihat bagaimana parti yang berteraskan Islam dan antara parti utama orang Melayu, menetapkan pendirian dalam hal-hal berkaitan kelangsungan PAS dan perjuangannya dalam landskap politik negara.

Banyak pihak menanti apakah keputusan muktamar akan memperlihatkan ketegasan PAS untuk menamatkan hubungan kerjasama politik dengan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR)? PAS tidak menganggotai gabungan Pakatan Harapan, yang dibarisi DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH), yang merupakan parti serpihan PAS.

Atau mungkinkah pula PAS menjalin kerjasama dengan BERSATU, khususnya untuk menawan Kedah? Sehingga kini, tiada keputusan konkrit oleh PAS mengenainya. Satu lagi persoalan ialah kerjasama PAS, yang pada 16 Mac 2016, mengumumkan membentuk blok ketiga politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), sebuah parti pelbagai kaum pimpinan bekas menteri Kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil.

Ramai juga yang ingin menebak apakah PAS, yang dilihat berbaik-baik dengan Umno dalam hal-hal berhubung dasar kepentingan Melayu dan Islam, memberi keuntungan kepadanya untuk meraih sokongan jika ia bergerak sendirian pada PRU14.

Nada muktamar

Jika pada muktamar tahun lepas, barisan pemimpin PAS tampil berpakaian baju Melayu, lengkap bersamping, bertanjak dan berkeris semasa muktamar tahunan di Kota Bharu simbolik ketegasannya dalam memperjuangkan kepentingan Melayu, apakah yang akan dipersembahkan pada kali ini. Berbezakah nada muktamar PAS kali ini?

Mengulas tahaluf siyasi PAS-PKR, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum itu perwakilan di peringkat kawasan PAS lebih awal mencadangkan usul berkenaan.

"Namun yang menarik perhatian apakah jika muktamar membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, bagaimana nasib mereka di Selangor," katanya.

Beliau berpendapat PAS akan terus mengekalkan kerjasama politik di Selangor kerana khuatir tindakan memutuskan hubungan dengan PKR hanya akan merugikan PAS.

"Ia berkait dengan mandat rakyat apatah lagi beberapa ADUN PAS turut menjadi Exco kerajaan negeri di Selangor. Jika hubungan ini diputuskan di Selangor kemungkinan ia tidak direstui pihak Istana dan juga rakyat yang membuat keputusan pada PRU lalu," katanya.

Keputusan penting

Bagi pemerhati politik keputusan berkenaan juga penting kepada PAS Kedah yang kini turut menaruh harapan dan keyakinan parti itu akan kembali merampas Negeri Jelapang Padi pada PRU akan datang.

Apakah PAS akan bekerjasama dengan BERSATU, yang dikatakan membina kubu berikutan barisan kepimpinan kukuh di negeri itu, bagi merampas Kedah daripada Umno dan Barisan Nasional (BN), penganalisis itu berpendapat perkara itu sukar direalisasikan.

Menurut Kamarul Zaman, bacaan politik melihat PAS selesa bergerak sendirian bagi menghadapi PRU14 tetapi akan mengalu-alukan parti lain yang mahu bekerjasama dengan PAS atas nama Islam.

"Pada PRU kali ini masing-masing akan mempunyai strategi tertentu dan kali ini rakyat atau pengundi di Kedah sudah tentu akan membuat penilaian parti manakah yang mahu dipilih," katanya

Kamarul Zaman berkata pemimpin-pemimpin PAS awal-awal lagi menolak PPBM setelah parti itu menjalin kerjasama dengan DAP untuk PRU akan datang.

"Mana mungkin ia boleh berlaku di Kedah. Tetapi apa pun dalam politik semuanya boleh berlaku dan keputusan muktamar akan menjadi penentunya nanti," katanya.

Pemilihan parti

Muktamar tahunan, yang menyaksikan pemilihan parti, bermula dengan muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sebelum muktamar PAS Pusat bermula pada Sabtu, dilihat bebas daripada kontroversi kepimpinan mahupun isu besar yang lain.

Gandingan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, masing-masing telah menang tanpa bertanding. Abdul Hadi, 69, memegang jawatan Presiden PAS sejak 2002 menggantikan allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim , 56, memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Legasi kepimpinan Abdul Hadi turut diperkukuh apabila anaknya Muhammad Khalil turut menang tanpa bertanding untuk menerajui Dewan Pemuda PAS

Yang menjadi tumpuan kini adalah tiga jawatan Naib Presiden yang menjadi rebutan empat calon termasuk penyandang iaitu Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Anggota Parlimen Bukit Gantang; Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor; dan Nasruddin Hassan yang merupakan Ketua Penerangan PAS dan Anggota Parlimen.

Menurut Kamarul Zaman, pemilihan parti pada kali ini, yang mengutamakan kepimpinan ulama, dilihat meletakkan parti dalam status quo, tiada perpecahan meskipun krisis dalaman.

"Parti itu telah matang dan pembersihan telah berlaku sebelum ini apabila ramai pemimpin yang keluar parti selepas tewas dalam pemilihan pada muktamar sebelum ini," katanya merujuk kepada penubuhan Amanah.

Seramai 40 pemimpin lain dicalonkan untuk merebut 18 jawatan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, untuk dipilih kira-kira 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar tahunan itu.

- Bernama

Lihat Komen