malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja warga asing maut disambar petir
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 6:57 AM
Dikemaskini: 11:18 PM
ADS

Seorang pekerja wanita warga Indonesia maut disambar petir ketika menyelenggara landskap di bawah Menara Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan rakan sekerjanya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kata Abdul Aziz.

Sementara itu, seorang lelaki warga Nepal ditemui mati dalam sebuah longkang di hadapan sebuah bangunan di kawasan Industri Mega Bandar Teknologi Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Lawa Prakash, 34, yang disyaki mati dipukul pada 9.15 pagi semalam.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya dalam kenyataan semalam.

- Bernama

Lihat Komen