malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Annuar: Keputusan penajaan tak dirujuk pada saya
ADS

Pengerusi Majlis Amanah Raya Mara (MARA), Tan Sri Annuar Musa hari ini menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam rundingan pakej komersial Pelaburan Mara Bhd dan Universiti Kuala Lumpur untuk The Red Warriors.

Kata Annuar, ini kerana segala keputusan berhubung perkara itu diputuskan oleh pihak pentadbiran.

"Saya tidak terlibat dengan memutuskan, perundingan atau mengarahkan dan jauh sekali seperti mana yang dikongsikan dalam Facebook bahawa saya menggunakan dana pendidikan untuk taja TRW, itu fitnah.

"Sebab ia dibuat dalam satu perjanjian perniagaan, tapi keputusan penajaan tak libatkan saya.

“Ia dibuat di peringkat pengurusan dan tak dirujuk kepada saya, Ia dibuat melalui perjanjian komersial," kata Annur dalam sidang medianya di ibu pejabat Mara Kuala Lumpur sebentar tadi.

Annuar hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau dipanggil untuk menjelaskan dakwaan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penajaan skuad bola sepak Kelantan.

Pertemuan tersebut diadakan di Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur seawal jam 10.30 pagi.

Annuar memberi keterangan selama sejam bermula pukul 11 pagi, namun hanya bersedia menemui media selepas satu jam setengah selepas selesai mengadakan pertemuan itu.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Mara, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin bersama empat lagi pegawai Mara.

Menurut Annuar, jawatankuasa berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan beliau memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak terlibat untuk terus membuat siasatan tanpa sebarang tekanan.

Lihat Komen