malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Saya berbicara dengan beberapa rakan bukan Islam yang dengan sopan dan santun memberikan respon mereka terhadap puisi saya yang kontroversi itu.

Kebanyakan mereka sangat positif dengan segala pandangan saya sebelum ini. Bahkan ada yang menyatakan mereka mendekati Islam disebabkan mengikuti pandangan dan pendapat saya sebelum ini.

Mereka rasa puisi itu boleh menimbulkan salah faham tentang maksud saya apatah lagi apabila kumpulan pendesak Hindu, Hindraf memainkan peranan mereka.

Menyasarkan kerajaan India

Saya ingin beritahu mereka bahawa seperti yang saya jelaskan puisi itu memang sasarannya ialah tindakan kerajaan India di bawah pimpinan Modi. Ini kerana Hindraf asyik berhujah dengan nama kerajaan BJP tersebut.

Perkataan dalam puisi ialah MEMPERTUHANKAN bukan menyembah seperti yang diubah oleh sesetengah pihak.

Dalam Bahasa Melayu antara makna 'mempertuhankan' ialah mengagungkan secara berlebihan. Ini seperti seseorang menyebut 'dia mempertuhankan nafsu' maksudnya dia melebihkan nafsu atas segala.

Demikian hal yang berlaku di India sehingga sanggup menyiksa ataupun membunuh manusia kerana lembu.

Hindraf pertubuhan melampau

Bagi saya, Hindraf adalah pertubuhan pelampau yang mencetuskan ketegangan antara penganut Hindu dan muslim dalam negara ini melalui tindakan-tindakan mereka sejak dahulu.

Masyarakat wajar menjauhi tindakan provokasi mereka.

Buat bukan Islam yang membantah Dr Zakir Naik, anda jangan terikut dengan Hindraf, sebaliknya carilah bukti dari ucapan beliau yang menunjukkan beliau mengajak kepada keganasan.

Bukan sekadar dakwaan semata. Jika ada bukti yang jelas, saya bersedia membantah hal itu.

Ada beberapa pihak termasuk orang Islam yang memberi pandangan kepada saya bahawa mereka tidak setuju dengan beberapa pendekatan Zakir.

Untuk makluman, saya sendiri sejak awal juga ada memberikan pandangan berbeza tentang pendekatan beliau. Saya beritahu beliau sendiri suasana Malaysia.

Pandangan berbeza Zakir

Beliau ada pandangan yang berbeza setakat ini. Itu hak beliau. Namun, itu bukan alasan dia dituduh terroris dan kena dihantar ke BJP di India.

Akhirnya, kepada bukan Islam yang tidak terbabit dengan isu ini khususnya penganut agama Hindu yang tersalah faham maksud puisi saya itu, saya secara ikhlas mohon maaf kepada mereka.

Saya tidak pernah maksudkan penganut Hindu secara umum yang tidak terlibat dengan isu ini. Satu dialog saya dan non-muslim akan saya aturkan dalam masa yang terdekat dan sesuai.

Komitmen saya kepada keadilan antara manusia kekal merentasi sempadan agama.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN merupakan mufti Perlis. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen