malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
China meronda hampir setiap masa dekat Sarawak
Diterbitkan:  Apr 24, 2017 11:51 AM
Dikemaskini: 3:55 AM
ADS

Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) melakukan rondaan hampir pada setiap masa di perairan dituntut Malaysia, menurut satu laporan.

Laporan itu - yang mengesan pergerakan kapal berhampiran Beting Luconia antara 30 Disember tahun lalu hingga 26 Feb tahun ini - mendakwa sekurang-kurangnya tiga kapal CCG dan satu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia meronda kawasan itu dalam tempoh tersebut.

Katanya, kapal CCG, Zhongguo Haijing 3306, membuat rondaan sehingga sekurang-kurangnya 6 Januari.

Mulai 12 Januari hingga sekitar 13 Februari, tugas itu digantikan oleh kapal Zhongguo Haijing 3501. Kapal Zhongguo Haijing 3402 meronda di kawasan itu mulai 15 Februari.

"Sepanjang tempoh itu hanya satu kapal TLDM, KD Selangor, membuat rondaan di kawasan beting itu mulai 22 hingga 29 Januari.

"Semasa itu, ia beroperasi sehingga 4 batu nautika (7.4 kilometer) dari Zhongguo Haijing 3501, membayangkan ia mahu memantau kehadiran CCG," kata laporan yang diterbitkan pada 5 April lalu.

Ia disediakan melalui kerjasama antara Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di bawah Asia Maritime Transparency Initiative dan Pusat Kajian Pertahanan Lanjutan (C4ADS). Kedua-duanya berpangkalan di AS.

Pergerakan itu dikesan menggunakan isyarat yang dihantar transponder kapal-kapal terbabit.

Menurut laporan berkenaan, pergerakan CCG itu bukanlah luar biasa dan konsisten dengan pertukaran tugas kapal agensi itu berhampiran Beting Luconia.

Beting berkenaan terletak kira-kira 156 kilometer dari Sarawak dan Putrajaya mendakwa ia adalah sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Ia mengandungi dua gugusan terumbu karang dikenali sebagai Beting Luconia Utara - atau Gugusan Beting Raja Jarun - dan Beting Luconia Selatan - atau Gugusan Beting Patinggi Ali.

China - terletak 1,600 kilometer dari situ - menegaskan ia adalah sebahagian daripada tuntutan yang merangkumi sebahagian besar daripada kawasan Laut China Selatan.

Beting berkenaan juga dituntut oleh Taiwan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen