malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Ambil iktibar Rasulullah runtuhkan 'kekabilahan'
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam di negara ini untuk bersama mengambil pengajaran peristiwa agung Israk dan Mikraj dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.

Beliau menarik perhatian bahawa melalui kehadiran Islam dan kepimpinan Rasullullah SAW, seluruh tembok 'perpecahan dan perkauman' serta 'kekabilahan' pelbagai etnik di Semenanjung Arab berjaya diruntuhkan.

Beriltizamkan itu juga, Najib berkata Malaysia telah mengambil pendekatan sentiasa meraikan kepelbagaian yang menjadi teras kekuatan masyarakat dan negara.

"Apa yang perlu dikembang dan diperkasakan ialah bagaimana menjadikan kepelbagaian itu sebagai teras dalam perpaduan ummah dan pembinaan negara bangsa dan setiapnya wajib dihormati sebagaimana kita memerlukan penghormatan daripada orang lain, " katanya dalam mesej sempena Israk dan Mikraj yang disambut hari ini iaitu 27 Rejab.

Dalam mesej yang dimuatkan di blog www.najibrazak.com, beliau berkata dengan mengambil beberapa peristiwa dan pergolakan di luar negara, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan berdaya saing malah semakin mencipta pencapaian besar dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk kestabilan politik dan pengurusan ekonomi yang cekap selain menjadi pusat pelaburan asing dan pembangunan modal insan, katanya.

"Semuanya ini menggambarkan usaha dan keringat perjuangan besar pemimpin-pemimpin dengan sokongan rakyat yang setia. Mereka yang berasa 'curiga' atau 'sangsi' akhirnya akan merasakan aib sendiri kerana yang dikendung berciciran dan yang dikejar semakin jauh," katanya.

Peristiwa Israk dan Mikraj memuktamadkan kewajiban melaksanakan solat lima waktu bagi umat Islam selain Nabi Muhammad SAW dapat menyaksikan sendiri kebesaran Allah SWT.

Ia berlaku setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah yang kemudiannya menjadi model pengurusan pentadbiran Islam yang berjaya dalam perkembangan dakwah dan hubungan harmoni pelbagai agama.

- Bernama

Lihat Komen