malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rasuah: Pemimpin Umno Melaka bakal didakwa Selasa ini
Diterbitkan:  Apr 23, 2017 7:52 PM
Dikemaskini: 11:56 AM
ADS

Pemimpin Umno yang rapat dengan pentadbiran negeri Melaka bakal didakwa atas pertuduhan rasuah pada Selasa ini, demikian menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada bulan November yang lalu, SPRM telah merampas lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen dari pemimpin berkenaan dalam siasatan pengubahan wang haram.

Ia berlaku selepas anggota exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi meletak jawatan selepas berdepan pendakwaan rasuah pada minggu lepas.

Sumber itu memberitahu Malaysiakini, ahli politik tersebut mempunyai kaitan dengan pegawai atasan kerajaan.

Beliau juga digantung tugas dalam pentadbiran selepas disiasat SPRM tetapi dilaporkan oleh akhbar tempatan berbahasa inggeris telah dilantik untuk memegang jawatan di Pusat Khidmat Umno bahagian Tangga Batu.

Tangga Batu adalah kawasan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Idris menafikan dakwaan bahawa beliau memberi jawatan penting dalam Umno Melaka kepada seorang ahli politik yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah sebelum ini.

Idris berkata, beliau tidak pernah melantik individu terbabit secara rasmi memegang sebarang jawatan penting dalam pertadbiran parti seperti yang didakwa akhbar tempatan berbahasa Inggeris.

"Saya hanya arah beliau untuk melaksanakan pemantauan demi kelicinan jentera parti dan bukannya terlibat dalam urusan mentadbir jentera parti,"katanya kepada pemberita pada majlis sidang media ketika menghadiri Program Bandaraya Penyayang sempena Ulang Tahun Melaka Bandaraya Bersejarah kali ke-14 di rumah seorang penerima bantuan bagi kawasan Tangga Batu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa beliau melantik seorang pegawai kanan kerajaan bergelar yang sebelum ini pernah ditahan direman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek-projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka.

"Saya hanya melantik beliau bagi memastikan kerja-kerja pemasangan bendera dan sepanduk (Barisan Nasional) mengikut peraturan (yang ditetapkan).

"Kalau itu pun nak dijadikan isu besar...saya tak tahu kenapa kerana (tugasan) itu bukanlah jawatan yang membabitkan kepimpinan atau pentadbiran parti tetapi (hanya) pemantauan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen