malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya tak terlibat dalam penyelesaian 1MDB, kata menteri
ADS

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata beliau tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian antara 1MDB dan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC).

Beliau diminta mengulas kebimbangan mengenai wang pembayar cukai digunakan dalam penyelesaian awal sebanyak AS$ 1.2 bilion, seperti yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya tidak terlibat dalam rundingan. Ia dilakukan oleh pengurusan dan lembaga 1MDB dengan pegawai PMO (Pejabat Perdana Menteri).

"Saya masih belum diberi taklimat (mengenai) keputusan akhir penyelesaian," kata Johari ketika dihubungi Malaysiakini.

Johari kini berada di Washington, Amerika Syarikat bagi menghadiri mesyuarat Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Semalam The Straits Times Singapura melaporkan perjanjian berkenaan akan menyaksikan 1MDB membayar IPIC sejumlah AS$ 1.2 bilion (RM5.3 bilion) menjelang akhir tahun.

Ia bagi melangsaikan pinjaman dan faedah terkumpul daripada bantuan diberikan kepada syarikat kerajaan Malaysia itu pada Julai 2015.

Kebanyakan sumber berkenaan akan diperoleh daripada penjualan "unit-unit dana" anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Ltd.

Bagaimanapun, Rafizi menimbulkan kebimbangan bahawa rundingan itu bakal melibatkan wang rakyat.

Brazen Sky menimbulkan kontroversi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa syarikat itu memiliki AS$1.01 bilion dalam bentuk wang tunai di Singapura tetapi kemudiannya menjelaskan ia dipegang dalam bentuk "unit pelaburan"

Adalah tidak jelas jika “unit pelaburan” berkenaan wujud atau bernilai apa yang didakwa kerana akaun 1MDB tidak pernah diaudit sejak 2015 manakala Deloitte menarik semula laporan audit 1MDB bagi tahun 2013 dan 2014.

Lihat Komen