malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jijik jika biar miskin demi undi, kata PKR
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 10:50 AM
Dikemaskini: 2:54 AM
ADS

Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh berkata, sekiranya mewujudkan golongan miskin adalah sebahagian rancangan pemerintah mendapatkan undi, ia adalah sesuatu yang dijijikkan.

"Adakah wujudnya tangan ghaib yang menghalang kumpulan miskin untuk didapatkan bantuan melainkan dari pihak yang diiktiraf oleh Umno BN.

"Ditambah lagi dengan kos perkhidmatan internet yang mahal, ketidak mampuan golongan miskin untuk mendapat maklumat daripada media alternatif adalah rancangan terbaik untuk pemerintah.

"Ini bagi memastikan golongan miskin akan membantu mengekalkan kuasa dengan tawaran 'gula-gula manis' yang disertai kesakitan untuk tempoh lima tahun yang akan datang," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara-negara ASEAN mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Najib berkata, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya mempersoalkan mengapa masih wujudnya golongan fakir miskin di Malaysia.

"Bukankah sebelum ini, beberapa pemimpin Umno, BN mengatakan ekonomi kita tidak bermasalah, bahkan sehinggakan golongan berpendapatan rendah juga dikenakan GST.

"Mengapakah masih lagi wujud rakyat yang tinggal di rumah usang, seolah-olah mereka sedang berada di zaman sebelum kemerdekaan, di manakah sebenarnya letak peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," tanya beliau.

Persoalan utamanya, jelas beliau, mengapa JKKK tidak memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat dan turut membantu mohonkan peruntukan.

"Mengapa masih lagi kerajaan Umno, BN masih gagal perbaiki atau menyediakan rumah yang lebih baik untuk golongan miskin kritikal di desa," tanyanya.

Lihat Komen