malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib failkan saman fitnah kedua ke atas Pua
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 3:22 PM
Dikemaskini: 11:06 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utrara, Tony Pua berhubung kenyataannya dalam rakaman sebuah klip video di Facebook mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Najib atas kapasiti peribadi, memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

Ini adalah saman fitnah kedua Najib terhadap Pua. Beliau mendakwa Pua pada tahun 2015 mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan dirinya dengan skandal 1MDB.

Pua juga memfailkan saman terhadap Najib, tahun ini, kerana kesalahan "misfeasans di pejabat awam".

Pada 11 April lalu, Najib menuntut permohonan maaf daripada Pua dan berhubung video berkenaan, yang dianggap memfitnahnya dan mahu ia ditarik balik.

Klip video berkenaan dimuat naik pada 6 April, tidak lama selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang usul pindaan kepada Akta 355.

Dalam surat tuntutan yang telah disampaikan kepada Pua, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata klip video yang dipersoalkan itu memberi bayangan bahawa anak guamnya mencuri dan menyalahgunakan kuasa.

Katanya, video itu memfitnah anak guamnya mengikut Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 terhadap jawatannya selaku perdana menteri dan menteri kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa.

Plaintif berkata, ia bermaksud beliau memberikan arahan melalui kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan rang undang-undang persendirian dan mengetepikan rang undang-undang lain.

Beliau berkata, ia juga bermaksud dirinya tidak menghiraukan doktrin pengasingan kuasa dan berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu dalam kalangan pembangkang.

Perkataan fitnah itu juga, kata Najib, membawa maksud beliau melakukan jenayah dengan merompak duit daripada dana 1MDB, menyalahguna kuasa, tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Najib menuntut daripada Pua ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang Pua daripada terus menerbitkan kenyataan sama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen