malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ST: Pertikaian 1MDB, IPIC bakal selesai
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 11:39 AM
Dikemaskini: 3:44 AM
ADS

Syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, dijangka menandatangani perjanjian menyelesaikan pertikaian berbilion dolar dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC), kata satu laporan.

The Straits Times bagaimanapun mendakwa penyelesaian berkenaan - jika berlaku - boleh melemahkan tindakan undang-undang diambil Jabatan Keadilan (DOJ) AS terhadap 1MDB.

Memetik sumber, akhbar Singapura itu hari ini melaporkan perjanjian berkenaan akan menyaksikan 1MDB membayar IPIC sejumlah AS$ 1.2 bilion (RM5.3 bilion) menjelang akhir tahun bagi melangsaikan pinjaman dan faedah terkumpul daripada bantuan diberikan kepada syarikat kerajaan Malaysia itu pada Julai 2015.

Lapor akhbar itu, kebanyakan sumber berkenaan akan diperoleh daripada penjualan "unit-unit dana" anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, kepada pembeli yang tidak didedahkan.

Brazen Sky mempunyai kepentingan tertentu kepada 1MDB kerana akaunnya di Bank BSI Singapura sepatutnya digunakan untuk menerima dana dari akaun 1MDB di Kepulauan Cayman.

Akaun di Kepulauan Cayman itu sepatutnya memuatkan dana yang ditebus daripada usaha sama dipertikaikan 1MDB dengan PetroSaudi International sejak 2009.

Pegawai Pejabat PM

Selain ganjaran bernilai AS$ 1.2 bilion itu, laporan berkenaan menyatakan perjanjian terbabit juga memerlukan 1MDB dan IPIC menyelesaikan pertikaian lain sebanyak AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) menjelang 2020.

Ini adalah berkaitan bon 1MDB yang diperoleh dengan bantuan IPIC pada 2012.

Malaysiakini cuba menghubungi Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk pengesahan mengenai penyelesaian itu.

Sementara itu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dihubungi berkata, beliau tiada maklumat mengenai perkembangan berkenaan.

"Ia dilakukan oleh lembaga pengurusan 1MDB dan pegawai Pejabat Perdana Menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Johari yang kini berada di Washington atas urusan rasmi berharap ia akan menguntungkan 1MDB dan IPIC.

Memetik pakar perundangan dan perbankan, The Straits Times juga menyatakan penyelesaian itu akan menghalang saman DOJ ke atas 1MDB kerana menyebabkan kekurangan bahan bukti.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan laporan itu secara bebas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen