malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSIH terkejut dengan ugutan Zahid Hamidi
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 5:01 PM
Dikemaskini: 9:09 AM
ADS

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menzahirkan rasa terkejut dengan mesej ugutan dan dendam oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Amaran (Ahmad) Zahid bahawa sekiranya ‘kontrak sosial’ terhancur, rakyat Malaysia akan menghadapi bukan sahaja 'gangguan sosial tetapi - lebih buruk daripada itu - jalan-jalan akan berlumuran darah dan bersepahan dengan mayat orang'," kata jawatankuasa induk BERSIH 2.0.

Jawatankuasa itu merujuk laporan sebuah portal berita yang melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata demikian di Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia di Putrajaya pada 18 April yang lalu.

Selain itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk membatalkan projek-projek infrastruktur berskala kecil di kawasan pilihan raya persekutuan yang tidak diwakili oleh parti pemerintah.

"Kenyataan Zahid dan tindakan Noh amat buruk, lebih-lebih lagi kerana ia datang daripada pemimpin politik yang sepatutnya menetapkan suasana yang memungkinkan pilihan raya umum yang bebas dan adil.

"Sebaliknya, kenyataan Zahid membangkitkan kemungkinan keganasan dan secara tersirat mengungkit tempoh paling gelap dalam sejarah negara kita, iaitu pilihan raya umum tahun 1969.

Walaupun ancaman sebegini pernah dibuat, melihat kepada trend sejarah, ia masih tidak disenangi dan mesti dikutuk dengan sekuat-kuatnya oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, jelasnya.

Noh pula, katanya, seolah-olah kurang faham prinsip asas yang kerajaan mempunyai kewajipan dan diamanahkan melalui sistem demokrasi, untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah jagaannya.

"Undi ialah hak demokratik yang melahirkan kehendak rakyat berkenaan wakil kerajaan mereka dan bukan sebiji token yang digunakan oleh pengundi untuk mendapatkan hadiah pembangunan," katanya.

Oleh itu, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mesti menolak ahli politik sebegini yang melahirkan persekitaran yang tidak sihat, tambah jawatankuasa itu lagi.

Lihat Komen