malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Apakah impian PM 'angan-angan Mat Jenin', tanya PKR
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 12:18 PM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kemampuan Malaysia menjadi antara 20 negara termaju di dunia.

"Ucapan Najib yang berikrar untuk memakmurkan negara sehingga dapat berada di kedudukan 20 negara termaju di dunia membuatkan saya tersenyum seketika.

"Sedangkan Wawasan 2020 tidak tercapai, bagaimana negara boleh menjadi 20 negara termaju di dunia.

"Adakah ini hanya sekadar 'angan-angan Mat Jenin' atau impian Najib yang tidak tercapai dek akal? Jika negara maju tetapi rakyatnya mundur, tiada gunanya," kata beliau dalam kenyataan.

Malaysia, katanya, sememangnya mempunyai infrastruktur yang setanding dengan negara-negara maju namun mentaliti para menteri Umno dan BN masih di tahap negara ketiga.

Semalam, Najib berikrar untuk memakmurkan negara sehingga dapat berada di kedudukan 20 negara termaju di dunia.

Kata Najib, bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi serta barisan jemaah menteri, beliau akan memajukan Malaysia.

"Saya bersama-sama Datuk Seri Zahid Hamidi beserta barisan jemaah menteri, demi Melayu, demi Bumiputera, demi rakyat Malaysia seluruhnya, kita akan bersatu hati, seia dan sekata untuk terus berjuang memakmurkan negara sehingga terjulang berada pada kedudukan 20 negara termaju di dunia.

“Insha-Allah," kata Najib ketika berucap melancarkan buku Hala Tuju Ekonomi Bumiputera 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sudah terlalu banyak ungkapan 'manis' ditaburkan untuk mengaburi rakyat dengan cara mengambil harta rakyat secara sedar.

"Yang menambahkan lagi terencatnya, skandal negara dalam pelbagai isu seperti 1MDB, menteri dan pegawai rasuah jutaan dan bilion ringgit yang menelan duit rakyat.

"Adakah ikrar ini hanya untuk sedapkan hati rakyat sedangkan berbilion ringgit hilang entah ke mana. Malah ada bukti wang 1MDB disalurkan ke akaun individu secara berjemaah," katanya lagi.

Rakyat hari ini, jelasnya, semakin sengsara dan menderita dengan kerajaan kleptokrasi di bawah pimpinan Najib.

"Adakah cukup dengan kemajuan yang dicanang tetapi kehidupan rakyat marhaen semakin terhimpit dengan harga barangan yang melambung tinggi dan bebanan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

"Apakah definisi sebenar 'negara moden' jika Umno, BN hanya merujuk kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebagai petunjuk, ianya adalah suatu masalah besar," tambahnya.

Lihat Komen