malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tindakan bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Kamarul Azman Habibur Rahman, meninggalkan pertubuhan itu langsung tidak dipedulikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ceramahya di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur malam tadi, pengerusi BERSATU itu hanya bercakap panjang lebar mengenai isu lain dengan kebanyakannya mengecam Datuk Seri Najib Razak.

Namun tidak sekali pun beliau menyentuh mengenai tindakan salah seorang pemimpin penaja BERSATU itu meninggalkan parti berkenaan.

Ceramah berkenaan dihadiri kira-kira 200 orang.

Hanya selepas ceramah berakhir - dan ditemui wartawan - Dr Mahathir bercakap mengenai Kamarul Azman. Namun ia sekadar ulasan yang ringkas dan bersahaja.

"Mungkin kroni dia (yang) tak pilih dia," kata Dr Mahathir sebelum terus menaiki kereta yang menunggu dan beredar dari situ.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Kamarul Azman mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar dari BERSATU.

Antara jawatan Kamarul Azman ialah Ketua Penaja BERSATU Teluk Kemang dan setiausaha kerja parti berkenaan di peringkat pusat.

Menurut bekas pemimpin akar umbi Umno itu, dia kecewa dengan hala tuju parti yang dilihatnya terpesong serta berdepan masalah dalaman.

Mengulas mengenainya, Kamarul Azman berkata, BERSATU kini mengamalkan kronisme dan 'kasta'.

BERSATU baru didaftarkan pada September tahun lalu dan belum mengadakan sebarang pemilihan bagi jawatan pimpinannya.

Sementara itu seorang lagi pemimpin BERSATU yang hadir di majlis malam tadi, Datuk Abdul Rashid Asari, menafikan dakwaan Kamarul Azman

Abdul Rashid yang juga ketua BERSATU Selangor menyatakan parti berkenaan tidak mengamalkan kronisme.

Malah, katanya, ketika melantik Ketua BERSATU Subang, Ishak Husain, dia tidak mengenali individu berkenaan pun.

"Saya tak kenal Ishak sehinggalah dia dilantik sebagai ketua bahagian. Macam mana kamu kata ada kronisme?

"Hanya selepas itu kami bekerjasama, bersatu dan saling mengenali," katanya.

Abdul Rashid juga memberitahu tindakan Kamarul Azman hanya akan memberi kesan kecil kepada BERSATU.

Sebelum menyertai parti berkenaan Kamarul Azman sering mengadakan sidang media atas kapasitinya sebagai pengerusi Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia. 

[Baca beritta penuh]

Lihat Komen