malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli Pemuda AMANAH ditahan kerana 'kritik' Sultan Johor
ADS

Polis Johor menahan seorang lelaki dari Kuala Lumpur berusia 26 tahun kerana memuat naik status di Facebook yang didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua PKR, Johor Hassan Karim, berkata suspek ditahan di ibu pejabat polis di Johor Baru pada kira-kira pukul 4 petang ini.

"Dia (suspek) datang untuk menyerah diri di balai polis dan minta saya mengiringi beliau.

"Polis mengambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah selama kira-kira satu jam sebelum menahannya untuk siasatan lanjut," kata Hassan yang bertindak selaku peguam.

Hassan berkata, suspek yang merupakan seorang anggota Pemuda AMANAH di Selangor datang ke Johor dari Sungai Besi, Kuala Lumpur awal hari ini.

"Ibunya, abang dan kakak juga di sana apabila dia ditahan," katanya sambil menambah polis akan memohon perintah reman esok.

Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai posting FB yang didakwa ditulis lelaki berkenaan.

Sementara itu, anggota jawatankuasa pusat Pemuda Parti Sosialis Malaya (PSM), Paranjothi Joma dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan kerana mengkritik projek Forest City.

Paranjothi berkata Pemuda PSM menghormati pandangan berkenaan, di mana lelaki itu didakwa mempersoalkan mengenai peranan China dalam projek Forest City yang boleh menjejaskan kedaulatan Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyangkal dakwaan pengkritik mengenai projek itu, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Projek Forest City, merupakan pembangunan komersial dan kediaman di wilayah Iskandar Johor yang dibina di atas empat pulau buatan manusia merangkumi 1,386 hektar.

Apabila siap pada 2045, empat pulau itu bakal menempatkan 70,000 penduduk dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan RM450 bilion.

Pemaju projek adalah Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), yang merupakan usaha sama antara pemaju yang berpangkalan di China, Country Garden Holdings Ltd dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Saham terbesar Esplanade Danga 88 dimiliki Sultan Ibrahim, manakala Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) memegang kepentingan minoriti.

 

Lihat Komen