malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siasat akaun palsu di FB sokong Najib, kata PKR
Diterbitkan:  Apr 14, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan harus menyiasat segelintir kewujudan pengguna akaun palsu yang menaip hashtag #RespectMyPM di akaun Facebook milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya bersetuju jika amaran mencegah pengguna internet daripada mengeluarkan kenyataan palsu. Apatah lagi jika dilihat pada setiap 'post' di Facebook Najib, terdapat segelintir pengguna akaun palsu yang menaip hashtag #RespectMyPM.

"Kerajaan harus siasat perkara itu sama ada ianya dikeluarkan oleh pemilik akaun sebenar atau dibayar untuk memalsukannya demi memberi sokongan kepada PM semata-mata," kata beliau dalam kenyataannya.

Syed Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas amaran Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mengenai tindakan pengguna internet yang membuat kenyataan palsu, mengaibkan negara dan pemimpin.

Kata Jailani, kementerian itu tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan individu yang melakukan kesalahan tersebut dan mungkin berdepan tindakan undang-undang.

Pada tahun 2013, Najib dilaporkan sebagai pemimpin yang paling banyak mempunyai pengikut palsu di Twitter berbanding pemimpin-pemimpin dunia lain, menurut Meld Magazine.

Portal atas talian itu melaporkan, Najib mempunyai 40 peratus atau 1.41 juta pengikut palsu - bermaksud pemilik akaun yang mempunyai hanya beberapa pengikut dan tweet tetapi mengikuti banyak akaun.

Sebanyak 15 peratus daripada pengikut Najib tidak aktif, menurut laporan yang disiarkan pada 3 Mei sementara 15 peratus lagi dipercayai pengikut asli.

Di belakang beliau, Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra (55 peratus) dan Perdana Menteri India Manmohan Singh (54 peratus) di tempat ketiga.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kerajaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang benar-benar bersalah dan bukan sebagai cubaan menutup malu atas keburukan pentadbiran Najib.

"Kritikan seharusnya dilakukan oleh rakyat kepada pemimpin. Perkara ini juga termasuk mendedahkan salah laku pemimpin berteraskan fakta dan bukti.

"Rakyat berhak tahu apa yang terjadi kepada negara, termasuklah dalam perihal ekonomi, pentadbiran dan sistem sosial," jelas beliau.

Oleh itu, ujar Syed Ibrahim, beliau berharap amaran yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan tidak menghapuskan budaya demokrasi dan menggalakkan kritikan rakyat terhadap pemimpin.

Lihat Komen