malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS tak pernah bincang terima dana 1MDB
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Meskipun tidak lagi bersama PAS, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub, berkata beliau berasa bertanggungjawab menjelaskan apa yang diketahuinya mengenai parti berkenaan, lebih-lebih lagi jika melibatkan kepentingan negara.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang pernah berkhidmat sebagai naib presiden PAS berkata, parti itu tidak pernah dimaklumkan mengenai penerimaan dana berkaitan 1MDB seperti didakwa Rafizi Ramli.

Katanya, isu penerimaan dana itu juga tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat PAS sebelum beliau menyertai AMANAH pada 2015.

"Yang pasti saya tidak terima apa-apa, dan saya tidak tahu dan tidak dimaklum tentang perkara itu," kata Salahuddin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Rakaman sidang media itu dikongsikan kepada Malaysiakini.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas dakwaan Rafizi yang mendakwa ada bekas pemimpin kanan PAS menerima dana 1MDB, yang disalurkan dari akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Enggan menamakan sesiapa buat masa ini, naib presiden PKR itu berkata, individu terbabit pernah ditegur Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mahu menjadi jambatan menghubungkan Umno dan PAS.

PAS bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Salahuddin turut meminta Rafizi mengemukakan bukti kukuh sekiranya PAS terlibat dengan dana 1MDB.

"Kalau Rafizi ada bukti kukuh saya harap beliau boleh dedahkan dalam masa terdekat," kata Salahuddin.

Salahuddin dipilih ahli PAS menjadi naib presiden parti itu sejak 2009 sebelum disingkirkan beramai-ramai bersama sejumlah tokoh pada 2015. Mereka kemudian menubuhkan AMANAH.

Lihat Komen