malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jadilah ulama intelektual dengan hafal al-Quran, kata TPM
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 12:29 AM
Dikemaskini: 4:31 PM
ADS

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar para pelajar yang menghafal al-Quran tidak perlu menumpukan kerjaya sebagai imam semata-mata.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar mereka menjadi golongan profesional yang terus menghafal al-Quran.

Katanya, ia seiring dengan program Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang ingin melahirkan ulama intelektual.

"Penghasilan hufaz (orang yang menghafal al-Quran) ini tak bermaksud hanya untuk menjadi para ulama, kita mahu selain daripada mereka menjadi hufaz, MARA khususnya MRSM harus galakkan mereka tidak menjadi imam, tidak menjadi ulama tetapi menjadi ahli-ahli profesional yang terus hafal al-Quran.

"Kita harus menjadi ahli profesional yang ulama. Ertinya kita akan membina melalui MRSM Ulul Albab ini dan juga maahad tahfiz yang mempunyai kurikulum imtiaz di mana kita mengintelektualkan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 di ibu negara, malam ini.

MRSM Ulul Albab merupakan MRSM yang antara programnya mengkehendaki pelajar menghayati dan menghafal al-Quran.

Program Ulul Albab telah diwujudkan di empat buah MRSM iaitu di MRSM Kota Putra, Terengganu, MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan, MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang dan MRSM Sungai Besar, Selangor.

Sementara itu, ketika berucap, Zahid turut menyentuh mengenai Rang Undang-undang 355 (RUU355).

Walaupun tidak menyebut tentang usul tersebut secara langsung, namun, Zahid menasihatkan agar kumpulan yang tidak seakidah dengannya tidak 'mengajar' bagaimana untuk mengukuhkan undang-undang Islam.

"Kumpulan yang tak satu akidah dengan kita, mereka jangan ajar kita bagaimana untuk memperkukuhkan undang-undang agama kita.

"Kita tak berhasrat menyentuh soal agama lain. Tolong hormati agama saya jika anda mahu saya menghormati agama anda.

"Sebuah negara yang harmoni dengan kepelbagaian agama, kaum, latar belakang kita hormati nilai baik di kalangan kita," katanya.

Ekoran itu, beliau turut meminta semua rakyat Malaysia menghormati Perlembagaan dalam Perkara 3 yang menyebut bahawa Islam merupakan agama Persekutuan.

"Perkara 3 dalam Perlembagaan menyatakan Islam agama Persekutuan.

"Semua rakyat Malaysia harus menghormati Perlembagaan yang mencatatkan perkara 3 dalam Perlembagaan ini," katanya lagi.

Lihat Komen