malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno Pahang cabar komponen HARAPAN tegur Kit Siang
Diterbitkan:  Apr 7, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:09 AM
ADS

Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan AMANAH untuk menegur tindakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam, terbaru melalui Akta 355.

"Jika benar DAP bukan parti yang menguasai pembangkang, saya cabar BERSATU, PKR dan AMANAH menegur tindakan Kit Siang yang tidak putus-putus melakukan provokasi terhadap agama Islam dengan yang terbaru melalui Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

"Ia juga membuktikan kebenaran dakwaan Kit Siang yang mengepalai bantahan tersebut merupakan 'de facto leader' atau orang paling berkuasa dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) apabila BERSATU, PKR atau AMANAH terpaksa 'menikus' atau berdiam diri dalam isu RUU 355," jelas beliau dalam kenyataan.

Awal hari ini, HARAPAN melahirkan kekesalannya terhadap tindakan speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan sidang lebih awal dan tidak memberi laluan terhadap usul pindaan Akta 355 dibahas.

Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang pada jam 4 petang, sedangkan waktu lazim mesyuarat sehingga 5.30 petang, amat mengejutkan.

“Lagipun, untuk perkara penting seperti ini, dewan boleh saja bersidang sehingga lewat malam, contohnya, dewan bersidang sehingga hampir jam 5 pagi pada hari sebelumnya.

“Tindakan speaker ini menghina dewan. Ia juga menyebabkan perbahasan atas RUU355 tertangguh sekali lagi, iaitu kali ketiga.

“Ini membawa fitnah , iaitu seolah-olah mempermainkan RUU355,” kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.

Mengulas lanjut, Shahar berkata, kebiadapan Kit Siang yang bangun sebelum sempat Pandikar memberi izin kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menggambarkan bagaimana beliau boleh menghina Parlimen yang patut dihormati demi menentang institusi syariah umat Islam.

"Bukan itu sahaja, tindakan keras pemimpin PKR bukan beragama Islam yang melanggar keputusan parti mereka untuk mengiktiraf hak Abdul Hadi menandakan bagaimana kedudukan Islam dalam pakatan pembangkang.

"Jika selepas apa yang DAP buat ini belum membuka mata umat Islam dan orang Melayu di negara ini mengenai betapa mereka membenci dan berdendam dengan agama dan bangsa kita, saya berasa sangat kecewa," katanya lagi.

Lihat Komen