malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: Pindaan Akta 164 demi kepentingan negara
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk memminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

“Sebagai mana dimaklumkan (oleh) speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

“Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada. Kita menghormati semua agama, kita menghormati hak semua kaum.

“Dalam soal ini keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke The International Modern Arabic International School (IMAS) di Putrajaya, hari ini.

Zahid yang juga adalah menteri dalam negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu.

Zahid, yang berkata beliau menghormati pandangan mufti itu, mengesahkan bahawa dirinya akan membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Said Othman yang ditugaskan untuk membentangkan pindaan tersebut.

Harussani, semalam, dilaporkan berkata cadangan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengkepikan kuasa mahkamah syariah.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Antara lain, pindaan yang dicadangkan itu adalah untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ini.

Lihat Komen