malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lagi cadangan polis anjur debat Nazri - Dr M
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 3:58 PM
Dikemaskini: 8:10 AM
ADS

Selepas Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan polis menganjurkan debat antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang lagi anggota parlimen tampil dengan cadangan sama.

Kali ini, cadangan tersebut kedengaran lebih serius dan bukan sekadar sindiran kepada pihak berkuasa itu.

Anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata beliau melontarkan cadangan itu selepas pihak polis menyatakan keputusan membatalkan debat tersebut dibuat bagi memastikan ketenteraman awam.

"Justeru, saya ingin melontarkan dua cadangan bagi memastikan debat ini berjalan dengan aman. Pertama, program debat ini dianjurkan oleh polis dan dilakukan di lokasi pilihan pihak polis.

"Kedua, program debat ini dilakukan secara siaran langsung atau FB 'live' tanpa penonton di lokasi dan INVOKE merupakan penganjur yang sesuai," katanya merujuk kepada sebuah NGO diasaskan anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Khalid dalam kenyataannya berkata, beliau terkilan dengan tindakan polis membatalkan permit debat berkenaan yang sepatutnya berlangsung di Shah Alam, Jumaat ini.

"Bagi saya, debat ini tetap perlu diteruskan bagi mendidik rakyat akan nilai demokrasi melalui perbahasan secara matang dan sebagai 'signal' kepada (Datuk Seri) Najib Razak bahawa anak buah kamu, Nazri berani debat, tapi kamu pengecut," katanya.

Polis Selangor, Ahad lalu berkata pihaknya membatalkan kebenaran untuk mengadakan debat berkenaan atas faktor keselamatan selepas menerima 18 laporan polis daripada orang ramai.

Tindakan itu dibuat kurang 24 jam selepas pihak berkuasa itu memberikan kebenaran kepada penganjur acara, Sinar Harian.

Bengang dengan keputusan itu, Nazri mencadangkan supaya majlis itu diadakan di auditorium polis di Cheras atau di Antartika.

Katanya, di Antartika "penguin tidak faham Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan oleh itu, tidak akan berlaku rusuhan."

Lihat Komen