malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Serangan' Pasir Salak: Khalid minta Pandikar cabar AG
ADS

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad mahu Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin  mencabar semula keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali susulan lapan individu yang merusuh dan cuba menyerangnya di Parlimen baru-baru ini di bawah akta lain.

Ini kerana katanya, lapan individu berkenaan hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

“Saya dah hantar surat pada Tan Sri Pandikar, memandangkan beliau bertanggungjawab menjaga ahli parlimen dan institusi Parlimen. Saya sangat berharap agar Tan Sri mencabar kembali keputusan pejabat AG dalam keputusan ini.

“Dalam nama mempertahankan kemuliaan parlimen, dia (Pandikar) sebagai speaker, seharusnya mereka (perusuh) di dakwa bawah 124 Kanun Keseksaan, kerana digubal khas di parlimen ini untuk menjaga ahli parlimen

“Oleh itu, jika pejabat AG masih berkeras untuk mendakwa seremeh itu, maka saya menganggap pejabat Tan Sri (speaker) bertanggungjawab untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan berkenaan mengikut bidang kuasa Tan Sri sebagai speaker parlimen,” katanya dalam sidang media di parlimen.

Semalam, Khalid dalam sidang medianya, melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan peruntukan undang-undang yang dikenakan terhadap penyokong Pasir Salak yang menyerangnya di Parlimen tahun lalu.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang hadir sama pada sidang media itu, mengibaratkan tindakan Apandi yang mendakwa penyerang itu di bawah akta kesalahan kecil seperti menangani kes ‘orang kampung berkelahi’.

“Mana mungkin tindakan mereka ditahan akta kesalahan kecil yang mana akta ini macam untuk orang kampung berkelahi sesama sendiri.

“Atau macam gaduh di stadium bola maki hamun, penyokong Kedah maki penyokong Selangor dan penyokong Selangor maki penyokong Kedah,” katanya.

Pada 24 November tahun lalu, Khalid diserbu sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, selepas berlaku pertikaman lidah dengan anggota parlimen kawasan itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di parlimen.

Ia berikutan tindakan Tajuddin yang juga ketua bahagian Umno Pasir Salak melabelkan anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'.

Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan. Khalid turut berkata beliau difahamkan daripada lapan perusuh itu, dua darinya adalah anak Tajudin.

 

Lihat Komen