malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS mahu pindaan Akta 164 dikaji semula
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 4:38 AM
ADS

PARLIMEN | PAS meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang dalam proses untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata kesan keseluruhan daripada pindaan Akta 164 itu - nama lain bagi berkenaan - adalah sangat serius.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang berkata, antara kesan besar yang dibawa rang undang-undang berkenaan ialah terhadap aspek kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama dan mempertahankan akidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Pindaan itu juga, kata Abdul Hadi mencemar keutuhan institusi mahkamah sariah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara ini.

"Oleh yang demikian, PAS mencadangkan agar Akta 164 ini dikaji semula secara mendalam menerusi pembentukan jawatankuasa khas untuk merangka dan mengemukakan penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dapatkan pandangan fatwa

Selain rang undang-undang untuk meminda Akta 355 - atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, Akta 164 juga menjadi perdebatan pelbagai pihak termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Kata Harussani, kerajaan perlu menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 kerana ia bukan saja bertentangan dengan perlembagaan dan hukum syarak, malah bercanggah dengan fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Jun 2009.

Antara lain, melalui pindaan dicadangkan kerajaan, seseorang anak pasangan bukan Islam dibenarkan memilih agamanya apabila berusia 18 tahun jika salah seorang ibu bapanya memeluk Islam.

Sebelum ini PAS pernah mengeluarkan kenyataan untuk menentang cadangan pindaan Akta 164 jika ada pihak lain membantah usul persendirian dibawa Abdul Hadi untuk meminda Akta 355.

DAP kemudian membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan itu dan menganggapnya mengejutkan, melampau, tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkata kenyataan itu juga menunjukkan bahawa PAS telah melupuskan slogannya, PAS Untuk Semua.

Menurut Abdul Hadi, jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji semula cadangan meminda Akta 164 itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan.

Ia juga, katanya, mesti mendapatkan pandangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

"Akta 164 ini secara langsung berkait dengan hak kekeluargaan orang Islam di mahkamah sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta," katanya.

Lihat Komen