malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Lawatan Najib ke luar negara tak naikkan profil Malaysia'
Diterbitkan:  Apr 3, 2017 12:11 PM
Dikemaskini: 4:24 AM
ADS

Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, lawatan pelaburan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan profil Malaysia.

"Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka pelaburan langsung asing (FDI) juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

"Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang perdana menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau," jelas Saifuddin dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Najib dalam blognya yang menuduh pelabur luar telah 'lari' dari Pulau Pinang serta memperlekeh pembangkang yang dituduh sebagai anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata, mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2016, pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan.

"Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah dengan dakwaan ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

"Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas. Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka," katanya lagi.

Tambahnya, dalam tempoh lima tahun pula, sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sangat memberangsangkan.

"Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6 peratus kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5 peratus pada tahun 2010. Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015," katanya.

Justeru, ujar beliau, adalah memalukan apabila seorang perdana menteri yang juga menteri kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang berada dalam keadaan tidak baik di bawah pentadbiran Lim Guan Eng.

Lihat Komen