malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS P Pinang usul putus hubungan PKR
Diterbitkan:  Apr 2, 2017 4:57 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

PAS Pulau Pinang akan mengemukakan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Muktamar PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Fauzi Mohd Yusof berkata 13 Kawasan PAS Pulau Pinang telah bersetuju membawa usul itu kerana PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

"13 kawasan PAS sudah bermesyuarat dan masing-masing sebulat suara mengusulkan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya PAS Pulau Pinang menilai segala tindakan yang telah dilakukan sepanjang PAS bersama dengan PKR," katanya kepada pemberita selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke-37 di Mengkuang Titi, hari ini.

Beliau berkata usul tersebut akan dihantar ke PAS pusat dan jawatankuasa penapisan usul serta pihaknya berharap ia akan diterima untuk dibahaskan pada muktamar nanti.

Sementara itu di Sungai Siput, Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata masih belum boleh membuat kesimpulan berhubung usul itu kerana masih terdapat sepuluh negeri yang belum mengadakan mesyuarat kawasan.

"Ketika ini hanya empat negeri yang telah selesai mengadakan muktamar dan bakinya akan selesai sebelum kami mengadakan Muktamar PAS Pusat hujung bulan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan ke-34 Pemuda PAS Perak, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh yang juga anggota Parlimen Pasir Mas berkata, PAS tidak pernah menganggap Umno sebagai musuh sesama Islam walaupun kedua-dua parti berbeza ideologi politik.

"Berbanding dengan AMANAH (Parti Amanah Negara) yang sering menganggap Umno adalah musuh sampai akhirat sehinggakan apabila PAS mahu bekerjasama dengan Umno dalam perkara berkaitan agama Islam, AMANAH akan marah dan ditolak oleh mereka.

"Saya minta supaya ahli PAS berfikir jauh bahawa perjuangan Islam ini bukan hanya untuk PAS dan Umno tetapi bagaimana kita hendak membawa agama ini diterima oleh masyarakat (berbilang kaum di negara ini)," katanya.

- Bernama

Lihat Komen