malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permit debat Mahathir, Nazri dibatal
Diterbitkan:  Apr 1, 2017 8:30 PM
Dikemaskini: 2:34 PM
ADS

Nampaknya orang ramai terpaksa menunggu lebih lama - jika memang ada ruang untuk itu - bagi melihat Tun Dr Mahathir berdebat dengan Datuk Seri Nazri Aziz.

Selepas polis memberikan kebenaran bersyarat debat itu diadakan di Shah Alam, hari ini sepucuk surat daripada polis menyatakan kebenaran itu dibatalkan.

Pembatalan itu dinyatakan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob, melalui akaun Twitter beliau sebentar tadi.

"Pelik, dialog Tun M vs Ds Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ni terima surat batal permit. Payah!! " katanya.

Makluman itu tiba sehari selepas polis Shah Alam memberi kebenaran kepada Karangkraf menganjurkan majlis berkenaan.

Melalui sekeping gambar dilampirkan Hussamuddin bersama tweetnya, surat polis dialamatkan kepada Sinar Karangkraf Sdn Bhd itu menyatakan, pembatalan berkenaan dibuat kerana mendapat bantahan penduduk di kawasan berkenaan.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima bantahan daripada penduduk sekitar kawasan tersebut.

"Setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam, dengan ini kelulusan permit perhimpunan aman bertarikhg 31 Mac 2017 adalah dibatalkan," katanya.

 

 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, ketika dihubungi enggan memberi komen lanjut.

"Esok saya akan komen pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor," katanya.

Debat antara dua seteru politik itu sepatutnya diadakan di Padang Rengas, Perak, pada 25 Mac lalu. Padang Rengas adalah kawasan diwakili Nazri sejak pilihan raya kesembilan pada 1995.

Bagaimanapun, acara yang dikatakan bakal berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar itu tidak menjadi kenyataan apabila polis enggan membenarkannya.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Perkembangan itu memperlihatkan akhbar Sinar Harian - yang diterbitkan Kumpulan Media Karangkraf - menawarkan diri menjadi penganjur.

Pada 25 Mac, Dr Mahathir yang kini menjadi penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagaimanapun memang bersemuka dengan Nazri - seorang menteri yang pernah menganggotai kabinet beliau suatu ketika dulu.

Bagaimanapun pertemuan Dr Mahathir dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berlangsung secara santai. Mereka duduk semeja sambil menikmati laksa dan cendol di Dataran Kuala Kangsa yang terletak bersebelahan Sungai Perak.

Pemberitahuan untuk mengadakan majlis "dialog" itu diterima polis pada 27 Mac lalu dan kebenaran bersyarat dikeluarkan pihak berkuasa semalam.

Majlis berkenaan sepatutnya berlangsung pada 7 April ini.

"Alhamdulillah, surat daripada OCPD Shah Alam baru saja diterima. Confirm dialog Tun Dr Mahathir vs DS Nazri Aziz 7.4.17 on," kata Hussamuddin mengulas kebenaran diberikan itu.

Bagaimanapun tweet Hussamuddin hari ini menampakkan rasa kecewa beliau atas pembatalan berkenaan.

Sementara itu bercakap kepada media kemudian, Hussamuddin berkata, pihaknya sudah hilang minat untuk terus menganjurkan majlis mempertemukan Dr Mahathir dan Nazri.

"Sebagai sebuah organisasi yang menghormati kerajaan semasa, kami sudah hilang minat untuk meneruskan debat berkenaan," katanya.

Bagaimanpun, Hussamuddin berkata pihaknya akan terus mengadakan siri wacana lain seperti 45 program yang pernah mereka laksanakan sebelum ini.

"Kami sudah ada 45 sesi dialog, debat atau wacana dan semuanya berakhir dengan baik," katanya.

Lihat Komen