malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Salleh: Kit Siang sepatutnya ketuai HARAPAN
Diterbitkan:  Mar 31, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: 10:28 AM
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Lim Kit Siang wajar dilantik oleh pembangkang untuk mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Katanya, cadangan itu dibuat kerana mengambil kira kedudukan kerusi yang diperoleh semua parti dalam HARAPAN.

Berbanding dengan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), Salleh berkata, DAP menguasi kerusi terbanyak.

"Penasihat DAP, Lim Kit Siang, perlu menyandang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan memandangkan DAP memiliki 38 kerusi parlimen dan 96 kerusi DUN," katanya.

PKR pula, kata Salleh, memiliki 27 kerusi parlimen dan 48 kerusi DUN, manakala AMANAH memiliki enam kerusi parlimen dan tujuh DUN.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata bekas ketua menteri Sabah itu, hanya memiliki satu kerusi parlimen dan dua kerusi DUN.

Justeru, kata Salleh, ternyata DAP parti paling besar dan terkuat dalam HARAPAN.

Bagaimanapun, kata beliau, apabila Lim cuba melantik pemimpin PKR, AMANAH atau BERSATU menduduki jawatan pengerusi HARAPAN, akan timbul tanda tanya.

"Apakah ini agenda beliau (Lim) untuk sekali lagi memperdaya para pengundi Melayu?" katanya.

Menjelang kedatangan pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun depan, HARAPAN dilihat masih belum cukup padu bagi menyaingi BN.

HARAPAN menerima secara rasmi kemasukan parti baru, BERSATU, pada 20 Mac lalu. Dengan penyertaan itu gabungan pembangkang memiliki sekurang-kurangnya seorang lagi tokoh berpengaruh di kalangan pengundi Melayu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun pemimpin sebenar HARAPAN masih belum diselesaikan walaupun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membayangkan ia akan diatasi tidak lama lagi. http://www.malaysiakini.com/news/377278

Buat masa ini, Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik sebagai penasihat HARAPAN.

Menurut Salleh, Lim sebagai ahli politik veteran DAP wajar menjadi pengerusi HARAPAN.

"Jika Lim enggan dan sebaliknya melantik seorang Melayu menduduki jawatan tersebut, maka ia akan memberi gambaran ianya hanya Pakatan Ali Baba," katanya.

Lihat Komen