malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bukan faktor kaum pilih Dr M, Azizah sebagai penasihat'
ADS

Isu 'kaum' bukan merupakan faktor dalam keputusan untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata demikian ketika menjawab soalan mengapa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak dinamakan sebagai salah seorang penasihat.

Perkara itu timbul selepas DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berbeza pandangan mengenai sama ada HARAPAN perlu menjadi gabungan berteras kepimpinan Melayu.

"Ini (faktor kaum) bukan pertimbangan kita. Tak ada kena mengena dengan Melayu pimpin atau tidak," kata Tan kepada Malaysiakini.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menggesa gabungan HARAPAN berteraskan kepimpinan Melayu, namun setiausaha penganjur DAP, Anthony Loke berkata, rakyat Malaysia tidak mahu sebuah lagi 'Umno' menguasai HARAPAN.

HARAPAN memutuskan untuk membentuk sebuah jawatankuasa sementara seramai 18 anggota dan mendaftarkan gabungan itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, Tan berkata keputusan menamakan dua doktor itu didorong rasa hormat terhadap Mahathir dan Wan Azizah.

Beliau berkata DAP tidak membangkitkan isu Lim, yang telah terlibat dalam politik selama lebih daripada lima dekad agar diberi status yang sama seperti Mahathir dan Wan Azizah semasa mesyuarat presiden HARAPAN.

"Kami tak ambil berat tentang jawatan. Kami tak minta apa-apa," katanya.

Tan juga menjelaskan bahawa penasihat jawatankuasa penaja tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah kepada parti komponen lain.

"Tidak ada abang besar atau kecil dalam HARAPAN, kita buat keputusan dan dasar secara konsensus," katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi Lim, tetapi pemimpin DAP itu enggan mengulas mengenai perkara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata sebuah jawatankuasa teknikal telah ditugaskan untuk mengendalikan pendaftaran dan logo HARAPAN.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat dan mengumpulkan senarai 16 calon daripada empat parti.

Keseluruhan proses itu, katanya, perlu mengambil masa sebelum gabungan itu boleh mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada ROS.

Lihat Komen