malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: Campur tangan menteri sebabkan Petronas bayar lebih mahal?
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan sama ada campur tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyebabkan Petronas terpaksa membayar harga minyak mentah dari Saudi Aramco dengan harga lebih mahal.

Rafizi berkata, ini kerana dalam laporan Reuters sebelum ini dengan jelas menyebut bahawa sumbernya menyebut Saudi Aramco menyatakan keputusan menggantung penyertaannya dibuat setelah mereka mendapati pulangan pelaburan yang tidak mencukupi.

"Ini bermakna salah satu punca utama kenapa tidak ada persetujuan di antara Petronas dan Saudi Aramco sebelum campur tangan Datuk Seri Najib (Razak) dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah berkisar mengenai kadar keuntungan pelaburan yang ditetapkan oleh Saudi Aramco yang mungkin tidak dipersetujui oleh Petronas," kata Rafizi dalam sidang medianya di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan itu berkata rakyat perlu memahami bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh Petronas dan Saudi Aramco melibatkan persetujuan untuk membekalkan minyak mentah yang menjadi bahan asas untuk ditapis dan diproses di kompleks penapisan minyak dan petrokimia (Rapid) di Penggerang.

"Ini bermakna, Petronas bersetuju membeli dan Saudi Aramco bersetuju membekalkan minyak mentah bagi satu tempoh jangka masa panjang pada satu harga yang formulanya telah dipersetujui terlebih awal tertakluk kepada turun naik harga minyak mentah dunia.

"Selalunya harga minyak mentah yang dibeli melalui perjanjian pembekalan jangka panjang sebegini melibatkan diskaun pada nilai tertentu yang ditolak dari harga rujuk minyak mentah Brent bergantung kepada mutu minyak mentah tersebut," kata Rafizi.

Dadik dada

Oleh itu, Rafizi berkata kebimbangan beliau kini berkisar laporan Reuters dan kenyataan Abdul Rahman yang mendabik dada bahawa campur tangan beliau telah “menyelamatkan” penyertaan Saudi Aramco sekali gus mempersoalkan kemampuan menteri kerajaan itu.

"Sebab itu saya kata Abdul Rahman bukanlah seorang yang ada pengalaman dengan projek-projek sebegini dan beliau tidak sedar dengan membuka mulut seperti itu, beliau memberi gambaran ada campur tangan pihak kerajaan dalam rundingan komersil yang menentukan pulangan pelaburan kepada Petronas dan Saudi Aramco," kata Rafizi.

Semalam, Rafizi menggesa Abdul Rahman menjelaskan peranan sebenar beliau dalam 'menyelamatkan' perjanjian pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM31 billion) antara Petronas dan Saudi Aramco.

Pada sidang medianya itu, Rafizi merujuk kepada kenyataan Abdul Rahman yang dilaporkan pada Sabtu lalu bahawa beliau berada di tempat dan masa yang betul apabila rundingan perjanjian itu tidak berjalan seperti dirancang.

Oleh demikian, Rafizi sekali lagi mendesak Abdul Rahman untuk berbuat demikian.

"Saya masih lagi menunggu jawapan Abdul Rahman mengenai peranan sebenar yang dimainkan serta bahagian khusus di dalam perjanjian usahasama diantara Petronas dengan Saudi Aramco di dalam projek Rapid yang telah beliau campuri

Dua hari yang lalu, Abdul Rahman mendedahkan peranan beliau dalam perjanjian pelaburan bernilai AS$7 bilion dengan Saudi Aramco setelah ia tidak berjalan seperti dirancang.

Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau ke Riyadh pada akhir 2016 selepas rundingan perjanjian itu, yang telah berlangsung selama kira-kira dua tahun, berjalan dengan perlahan.

Lihat Komen