malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO mesra Umno mahu anjur debat Kit Siang-Annuar Musa
ADS

Susulan perang mulut Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Parlimen bulan lalu, beberapa NGO mesra Umno merancang kedua-dua mereka berdebat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Sekretariat penganjur debat itu Dr Ammar Hassan berkata debat selama dua jam itu diberi tajuk “YB Lim Kit Siang pengamal politik rasis, diktator dan anti-Islam”.

“Mesej untuk kita nak beri rakyat faham, penjelasan, motif sebenar seperti yang dinyatakan oleh Annuar Musa, kita nak dengar bukti, dakwaan itu dengan hujah-hujah yang bernas dan bukan tidak berfakta.

“Kita yakin sebagai seorang pengamal undang-undang Lim Kit Siang akan beri penjelasan berdasarkan fakta,” katanya yang mewakil Yayasan Keusahawanan Sosial Malaysia (YKS) pada sidang media di PWTC, hari ini.

Selain YKS, antara NGO lain termasuk Buletin Rakyat, Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia dan Gabungan NGO-NGO Malaysia.

Bulan lalu di Parlimen, Annuar mengulangi kata-katanya bahawa Kit Siang seorang rasis, anti-Islam dan diktator politik sambil mencabar penasihat DAP itu mendakwanya di mahkamah jika apa yang disebutkan itu tidak benar.

Dakwaan tersebut dibuat berdasarkan beberapa fakta termasuk daripada ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Kit Siang adalah seorang rasis.

Sebagai tindak balas kepada cabaran Annuar, Kit Siang memberikan gelaran bapa segala rasis kepada Annuar selepas ketua penerangan Umno itu menggelarnya sebagai seorang rasis, anti-Islam dan diktator politik.

Kit Siang berkata, Annuar bertindak memberi pelbagai gelaran kepadanya kerana berada dalam keadaan terdesak dan tertekan berikutan isu MARA yang sedang dihadapinya, selain untuk mencari populariti menjelang pemilihan Presiden FAM, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut mengenai cadangan debat itu, Ammar berkata Annuar sudah memberi ‘lampu hijau’ dan mengesahkan kehadirannya manakala Kit Siang pula belum memberikan sebarang jawapan.

“Hanya Kit Siang belum lagi, mungkin pegawai dia belum bagi tahu dia,” katanya.

Ammar berkata, tujuan debat itu bagi memberi penjelasan kepada generasi akan datang mengenai berhubung isu berkenaan.

“Semua ini sejarah kedua-dua tokoh dari Umno dan pembangkang sebagai rakaman kepada masa depan negara untuk dapatkan penjelasan-penjelasan pada hari tersebut.

“Kita harap bukan sahaja kempen kepada parti mereka tapi kajian ilmiah kepada generasi akan datang mendapat pendirian yang mewakili parti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil sekreteriat Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju pula berkata debat itu wajar diadakan.

Katanya, ibarat debat antara Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz dan Dr Mahathir yang tidak menjadi tetapi berakhir dengan ‘minum cendol dan bergurau bersama’.

“Media kata macam-macam akhirnya Tun Mahathir dan Nazri boleh duduk bersama, makan cendol, bergurau, satu politik.

“(Polis kata) debat itu mendatangkan pergaduhan, huru hara dan anggapan polis silap. Kalau dianjurkan secara berhemah, ia akan berjalan lancar,” katanya.

 

Lihat Komen