malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hanya 26 senjata api RELA hilang, kata IGP
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan hanya 26 laras senjata api milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dikesan hilang sejak awal bulan ini selepas semakan semula dilakukan, kata Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata 12 individu berusia antara 40 dan 60 tahun turut ditahan di
utara tanah air termasuk anggota RELA yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan senjata api jabatan berkenaan.

"Saya mengesahkan setakat ini hanya 26 laras senjata api yang hilang
walaupun daripada perkiraan awal sebanyak 44 senjata dilaporkan hilang. Sebanyak 11 daripada 26 senjata api dijumpai dan 12 individu telah ditahan.

"Kita akan melakukan beberapa lagi tangkapan di Selangor bagi mengesan 15 lagi senjata api yang hilang. Kita tahu siapa yang memiliki senjata api tersebut dan kita menasihatkan agar mereka menyerahkannya dengan segera kepada polis," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Terbuka Kementerian Dalam
Negeri (KDN) di Ayer Keroh di Melaka, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut, Khalid berkata tindakan tegas akan diambil terhadap
individu berkenaan yang masih memiliki senjata api itu mengikut Akta Senjata Api 1971, namun bentuk hukuman terhadap mereka akan dipertimbangkan jika menyerahkannya sebelum ditahan polis.

Semalam, akhbar melaporkan enam individu di Kedah dan Perak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian 44 laras senjata api milik RELA daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan RELA, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di semua agensi kerajaan yang diberi lesen menggunakan senjata api bagi mengesan sebarang penyalahgunaan atau aktiviti penjualan senjata api.

"Sebelum ini, kita juga ada kesan kes kehilangan senjata api di Melaka
tetapi ia sebenarnya kesilapan pendaftaran. Jadi saya ingin menasihatkan semua agensi supaya menyemak semua daftar senjata api dan memastikan senjata api berkenaan lengkap mengikut pendaftaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PDRM khususnya Pasukan Gerakan Marin (PGM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Air Indonesia (POLAIR) dalam usaha meningkatkan keselamatan perairan terutama di Tawau, Sabah.

Katanya kerjasama tersebut dicapai menerusi perjumpaan beliau bersama Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian di Putrajaya, semalam.

"Selain itu, kita juga membincangkan pelbagai kerjasama dalam hal berkaitan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah," katanya.

Ditanya tentang perkembangan dua rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, Julai tahun lepas, Khalid berkata mereka dijangka tiba di negara ini, petang ini.

Katanya dua individu berkenaan kemudian akan dihantar pulang ke rumah mereka di Tawau bagi bertemu dengan keluarga masing-masing.

Dalam kejadian 18 Julai itu, lima mangsa dilarikan kumpulan Abu Sayyaf
selepas kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemui terkandas dengan keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Heaven. -Bernama

Lihat Komen