malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam: Polis tak boleh halang acara bawah PAA
ADS

Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) tidak memberi kuasa kepada polis untuk menghalang mana-mana perhimpunan, kata beberapa pakar undang-undang kepada Malaysiakini.

"Di bawah undang-undang itu, kamu perlu memberi notis 10 hari dan juga mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman. Itulah undang-undangnya.

"(Tetapi) Akta ini tidak memberikan peruntukan kepada polis bagi mengatakan ya atau tidak untuk berhimpun," kata peguam Andrew Khoo.

Baru-baru ini, polis menerima kritikan kerana menolak notis oleh pihak penganjur debat antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Pihak polis mendakwa penganjur tidak memberi notis 10 hari lebih awal dan Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar merupakan lokasi yang dilarang di bawah PAA.

Debat itu kini dijadual diadakan di pejabat akhbar Sinar Harian, di Shah Alam pada 7 April.

Tiada perkara seperti 'permit polis'

Peguam berkenaan juga percaya bahawa tafsiran PAA mempunyai implikasi yang meluas.

"Kuliah, forum, perbahasan, selagi terbuka kepada orang ramai semua jatuh di bawah bidang kuasa PAA walaupun ia diadakan di tempat persendirian.

"Penganjur acara itu dikehendaki memberikan notis di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman walaupun hakikatnya ia tak diperlukan," kata New.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan berpendapat kegagalan memaklumkan kepada polis, tidak menyebabkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana tiada lagi undang-undang berkaitan selepas enakmen PAA.

"Keperluan kini untuk memaklumkan, dan jika tak diberi maklum, maka pihak penganjur boleh dianggap melakukan kesalahan, tetapi itu bukan bermakna pihak polis boleh menghentikan acara tersebut.

"Tidak ada perkara seperti permit polis lagi di bawah PAA," katanya.

Khoo berkata, walaupun pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan perhimpunan, mereka boleh mengambil tindakan terhadap penganjur selepas itu kerana melanggar PAA.

"Jika ada pelanggaran undang-undang (yang berkaitan dengan perhimpunan), ini boleh diuruskan selepas perhimpunan itu," katanya.

Lihat Komen