malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mosti bangun standard baru uji DNA babi
ADS

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya membangunkan standard baharu pengujian asid deoksiribonukleik
(DNA) khinzir (porcine).

Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata standard yang
dibangunkan Jabatan Standard Malaysia itu dikenali sebagai MS 2627:2017 Pengesanan DNA porcine - kaedah ujian - makanan dan produk makanan.

Beliau berkata standard itu akan memberi keyakinan kepada rakyat terhadap ujian makmal yang dijalankan untuk memastikan produk bebas daripada DNA khinzir dan dapat digunakan tanpa was-was.

"Standard ini dibangunkan untuk menyeragamkan kaedah pengujian DNA khinzir yang sebelum ini menggunakan kaedah analisis, peralatan dan pelaksanaan juruanalisis yang berbeza bagi setiap makmal," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, standard baharu itu dapat membantu agensi
berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyediakan panduan yang jelas kepada makmal-makmal yang menjalankan analisis DNA.

Makmal terbabit adalah Jabatan Kimia Malaysia, Makmal Kesihatan Awam, Institut Penyelidikan Produk Halal, universiti, makmal swasta dan syarikat pengeluar makanan.

Madius berkata, dengan adanya standard itu, ia dapat mengukuhkan kredibiliti dan kompetensi makmal pengujian yang menjalankan analisis DNA khinzir.

Katanya standard itu dibangunkan ekoran beberapa isu membabitkan produk yang diragui status halalnya termasuk kes coklat Cadbury.

"Keputusan pengujian yang berbeza dalam kes coklat Cadbury telah
membangkitkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap pengeluaran sijil halal," katanya.

Selain standard tersebut, Madius berkata MOSTI turut meluluskan tiga lagi Malaysian Standards (MS) baharu dan enam MS yang disemak semula pada bulan ini.

Menurutnya sehingga kini, terdapat 5,258 MS yang merentasi pelbagai sektor industri yang telah dibangunkan MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia. -Bernama

Lihat Komen