malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akta 355: PAS puji pandangan bekas ketua hakim
Diterbitkan:  Mar 26, 2017 2:20 PM
Dikemaskini: 6:23 AM
ADS

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menyanjung tinggi pandangan yang dikeluarkan bekas ketua hakim negara yang juga tokoh Maal Hijrah kebangsaan, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

"Realitinya undang undang adalah bertujuan menyelesaikan pertikaian dan mencegah kesalahan dan jenayah. Andainya kita telah menyedari bahawa undang-undang yang ada gagal mencapai objektif tersebut, apakah wajar kita meneruskan sistem yang gagal itu - sedangkan natijahnya ialah kegagalan?

"Di saat gagalnya sistem ciptaan manusia bagi membina masyarakat yang sejahtera, apakah kita tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada sistem yang diturunkan oleh Allah untuk kebaikan manusia dilaksanakan.

"Malaysia yang berbangga dengan usaha menerajui sistem perbankan Islam, hub halal dan lain kini mampu menerajui perubahan kepada sistem perundangan Islam sebagai model keharmonian dan kejayaan negara.

"Kita perlu mengetepikan rasa curiga yang tidak berasas dan melihat kepada fakta dan pandangan ilmiah," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Fairuz semalam yang mengenai Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

“Akta 355 tidak boleh ditukarkan kepada hudud. Ini bukan hudud, kerana hukumannya telah ditetapkan,” kata Ahmad Fairuz selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Islam as the law of the land’.

Pada masa yang sama, dalam syarahannya itu, Ahmad Fairuz turut membangkitkan persoalan mengapa orang bukan Islam menentang pindaan Akta 355 tersebut, sedangkan ia tidak langsung melibatkan mereka.

“Saya tidak nampak sebab kukuh mengapa orang bukan Islam menentang kerana ia tidak melibatkan mereka, sedangkan orang Islam gembira apabila hukuman Islam dilaksanakan ke atas mereka. Mengapa bukan Islam pula yang memperjuangkan kesaksamaan di dalam hal ini?

“Orang Islam tidak menuntut kesaksamaan di dalam hal ini (hukuman syariah) kerana semuanya tahu orang Islam di negara ini terikat dengan dua undang-undang. Sememangnya Akta 355 tidak melibatkan langsung orang bukan Islam. Apa yang bukan Islam perlu risau?,” katanya lagi.

Sambil mengucapkan terima kasih atas pandangan Ahmad Fairuz itu, Tuan Ibrahim berkata, Islam ialah agama yang menjunjung keamanan.

"Kini sampailah masa para cendekiawan dari pelbagai bidang dan agama untuk duduk bersama membincang, mencari jalan dengan penuh jiwa besar meneliti sistem Islam samada dalam ekonomi, politik, perundangan dan lainnya sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang melanda negara kini.

"Sekali lagi, PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Ahmad Fairuz di atas pandangan bernas beliau," ujar Tuan Ibrahim lagi.

Lihat Komen