malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak debat, Nazri dan Mahathir makan cendol bersama
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 7:09 PM
Dikemaskini: 1:36 PM
ADS

Selepas siri cabar-mencabar untuk mengadakan debat terbuka yang sepatutnya berlangsung di Kuala Kangsar hari ini, Tun Dr Mohamad dan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz akhirnya bersemuka.

Bagaimanapun, pertemuan itu tidak berlaku dalam majlis debat seperti yang dirancang.

Sebaliknya, bekas perdana menteri dan menteri kebudayaan dan pelancongan itu duduk semeja sambil menikmati laksa kuala dan cendol berhampiran Sungai Perak di Lembah Kuala Kangsar.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan kira-kira setengah jam sambil menikmati hidangan berkenaan, lapor Bernama.

Turut hadir ialah isteri Mahathir, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya Datuk Seri Mukhriz, yang juga Timbalan Presiden BERSATU.

Pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra.

Mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya mengadakan debat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah petang ini anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Bagaimanapun, polis menolak permohonan permit bagi mengadakan debat berkenaan atas faktor keselamatan. Ia kemudian dijadualkan semula pada 7 April di Shah Alam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata pihak penganjur masih belum mendapatkan kebenaran untuk mengadakan debat berkenaan di Shah Alam.

Kedua-dua mereka dijangka berbahas mengenai beberapa perkara termasuk 1MDB, skandal forex dan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF).

 

Lihat Komen