malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP mahu semua suspek di kedutaan Korea Utara serah diri
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 11:50 AM
Dikemaskini: 7:57 AM
ADS

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mahu kesemua suspek yang berada di Kedutaan Korea Utara di sini supaya menyerah diri.

"Tak kira siapa di dalam itu, tiga orang kita mahukan yang ada di dalam itu (kedutaan)," katanya.

Tiga individu yang dipercayai berada di premis kedutaan Korea Utara ialah Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-song, 44, dan kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, serta Ri Ji-u, 30, yang juga dikenali sebagai James.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita yang menekup mukanya dengan bahan yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, mati ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan jenis KIA Sorento CRDI SUV 4x4 di Bukit Aman hari ini,  Khalid juga berkata, siasatan yang dijalankan pihak luar termasuk ejen Korea Utara berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam adalah menyalahi undang-undang.

Khalid berkata mana-mana pihak yang ingin melakukan siasatan perlu mendapat kebenaran polis kerana ia dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis Malaysia.

"Jika mereka hendak jalankan siasatan di sini (Malaysia), sama ada ejen atau anggota risikan dan badan perundangan, mereka perlu dapatkan keizinan dan perakuan terlebih dahulu.

"(Sebarang bentuk siasatan yang dijalankan adalah menyalahi undang-undang) kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyoal sesiapa dan melihat sebarang dokumen," katanya.

Khalid diminta mengulas laporan kononnya ada ejen Korea Utara kini menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam di negara ini.

- Bernama

Lihat Komen