malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JMM dakwa 2 parti politik, 4 NGO dibiayai Soros
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 11:27 AM
Dikemaskini: 3:35 AM
ADS

Dua parti politik dan empat NGO yang kini dalam proses kelulusan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), didakwa menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan, dakwa Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah.

Beliau dipetik berkata demikian dalam akhbar New Straits Times selepas menyerahkan memorandum kepada ROS semalam dan menggesa siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Azwanddin mendakwa beliau mempunyai bukti dalam bentuk gambar, mesyuarat antara individu (dari parti-parti tersebut dan NGO) dan pihak penaja asing, termasuk jutawan Amerika, George Soros.

"Kami mempunyai bukti untuk buktikan dana itu adalah bagi mereka melaksanakan tindakan-tindakan untuk menjatuhkan kerajaan dan untuk kegunaan peribadi mereka," dakwanya.

Selain Soros, Azwanddin juga mendakwa parti-parti dan NGO ini telah menerima dana daripada Pertubuhan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (Ilga) dan lain-lain organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Beliau menggesa ROS mengkaji semula prosedur untuk meluluskan penubuhan parti-parti itu dan menggesa tindakan segera diambil atau beliau akan mendedahkan identiti mereka yang menerima dana asing berkenaan.

Lihat Komen