malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis nafi pelancong dirogol di Redang, Perhentian
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 9:37 AM
Dikemaskini: 3:40 AM
ADS

Polis hari ini menafikan laporan berita yang tular di media sosial mengenai pelancong wanita dirogol atau dicabul oleh pemandu pelancong di Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pelancong wanita tempatan atau asing yang berkunjung ke Pulau Perhentian berkaitan dakwaan tersebut.

"Hanya ada satu sahaja kes seorang wanita Iban yang mendakwa dia dirogol oleh pemandu bot di Pulau Perhentian, itu pun pada tahun lepas.

"Namun setelah disiasat, dakwaan itu tidak benar kerana wanita itu tidak dapat memberikan bukti kukuh," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai khususnya pelancong wanita yang ingin ke Pulau Perhentian agar tidak risau dan khuatir.

Sebuah portal 'Oh Bulan' hari ini memetik satu pendedahan oleh seorang wanita bernama 'Cheryl Wong' yang mendakwa pelancong wanita asing yang berpakaian seksi sering diambil kesempatan dan menjadi mangsa tipu daya pemandu pelancong tempatan.

Cheryl mendakwa pelancong wanita ini menjadi khayal lalu dirogol oleh pemandu pelancong berkenaan selepas membantu menyapu losyen pelindung dari sinar matahari di badan mangsa atau selepas mengambil minuman diberi pemandu pelancong berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menafikan kejadian sebegitu berlaku di pulau peranginan itu.

"Pada saya sekiranya berlaku unsur seperti yang disebutkan itu, semestinya laporan polis telah dibuat," katanya.

Katanya, pihak polis perlu menyiasat segera penulis sebenar laporan berita itu kerana dakwaan sedemikian boleh menjejas kemeriahan Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT 2017) yang sedang berlangsung.

Seorang pekerja sebuah resort di pulau berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Saiful berkata, sejak mula bekerja di situ enam bulan lalu belum ada cerita mengenai pelancong dirogol.

Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata beliau akan menyiasat dakwaan tersebut.

"Tuduhan ini tidak boleh sewenang-wenangnya dilemparkan kepada pemandu pelancongan kerana kebanyakan mereka merupakan penduduk tempatan.

"Mustahil untuk mereka melakukan kegiatan yang boleh menutup periuk nasi mereka sendiri," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamantan dan Kesejahteraan Kampung Pulau Redang, Roki Ami berkata dakwaan 'Cheryl' itu mungkin satu tindak balas kerana kecewa tidak mendapat layanan dikehendaki daripada seseorang di pulau berkenaan.

"Saya juga anggap ia sabotaj kepada industri pelancongan di Pulau Redang yang saban tahun meriah dikunjungi pelawat tempatan dan asing," katanya.

- Bernama

Lihat Komen