malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UEC dipertimbang bagi kemasukan universiti
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 8:51 AM
Dikemaskini: 3:44 AM
ADS

Kementerian Pendidikan Tinggi bersedia menimbang untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke universiti-universiti awam (UA) sekiranya ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata antara syarat tersebut termasuk penilaian sijil itu perlu dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan bukan badan penilai sendiri, selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC perlu setara dengan mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum UEC perlu selari dengan sejarah negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di persidangan Dewan Rakyat semalam.

Idris berkata, setakat ini sistem UEC tidak diterima bagi kelayakan masuk ke UA kerana kurikulum sijil itu tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.

Sementara itu, Idris berkata berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sebanyak 77.3 peratus siswazah daripada 238,190 responden telah mendapat pekerjaan selepas enam bulan mendapat ijazah, pada tahun lalu.

Katanya, sistem tersebut digunakan kementeriannya bagi mengukur kebolehpasaran siswazah.

"Baki sebanyak 22.7 peratus yang belum bekerja sebenarnya telah berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1.36 peratus," katanya.

Menurutnya, berdasarkan sistem kajian sama, kementeriannya mendapati kadar kebolehpasaran siswazah di politeknik meningkat kepada 88.7 peratus, manakala di kolej komuniti pula kadar kebolehpasaraan siswazah mencatatkan 97.2 peratus.

- Bernama

Lihat Komen