malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN Akta Hasutan boleh digunakan bagi menangani kenyataan berbaur perkauman, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

"Akta hasutan boleh kita gunakan untuk menghalang perkara yang tak diingini berlaku. Kenyataaan-kenyataan yang boleh mendatangkan kemarahan satu kaum tu (boleh diletak) kesalahan di bawah Akta Hasutan," kata Nazri di Dewan Rakyat hari ini.

Perbuatan menggalakkan perbalahan kaum merupakan satu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Pengkritik bagaimanapun membidas undang-undang itu sebagai zalim dan mendakwa ia sering digunakan untuk menghalang perbezaan pendapat.

Menteri itu berkata, rakyat Malaysia tidak mahu mengulangi tragedi rusuhan 13 Mei 1969 dan menggesa semua pihak mengamalkan kesederhanaan serta memelihara sensitiviti agama.

Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Anuar Manap (BN-Sekijang) mengenai bagaimana kerajaan menangani akaun media sosial palsu yang memaparkan mesej menghasut kebencian kaum.

Berhubung akaun palsu di media sosial, Nazri berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia mampu menanganinya.

"Saya mangsa banyak akaun (media sosial) konon guna nama saya, banyak berlakon jadi saya.

"Saya buat laporan kepada kementerian komunikasi untuk tindakan diambil agar tutup akaun-akaun ni," katanya.

Lihat Komen