malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dari pelekat ke Whatsapp, along tetap bolos
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 3:44 PM
Dikemaskini: 7:46 AM
ADS

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoalkan tindakan kerajaan dalam membanteras kegiatan pinjaman haram yang dilakukan oleh along di negara ini.

Ketua Pemudanya Mohd Sany Hamzan berkata walaupun kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam menangani along, namun sindiket ini dilihat masih aktif memperdaya mangsanya.

“Biarpun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menangani masalah ceti haram atau along, namun hingga kini masalah ini masih gagal ditangani secara serius dan semakin ramai rakyat Malaysia yang akan terjerat dengan skim haram ini,” katanya.

Katanya, berita mengenai kegiatan peras ugut yang dilakukan oleh sindiket ini seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan rakyat di negara ini.

“Senario yang jelas pada hari ini menunjukkan bahawa aktiviti sindiket along semakin berleluasa seolah-olahnya aktiviti haram ini tidak terkawal dengan pelbagai poster iklan-iklan terpampang di mana-mana termasuk di media sosial,” katanya.

Modus operandi yang dilakukan oleh sindiket itu dengan menggunakan pelekat, dan kad perniagaan yang diletakkan di kenderaan, malah yang terbaru mereka menunggunkan sistem pemasaran khidmat pesanan ringkas (SMS) serta aplikasi Whatsapp kepada mangsa sasarannya.

Mohd Sany berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik dikhuatiri rakyat di negara ini mudah termakan janji manis sindiket berkenaan. Justeru beliau menggesa pihak kerajaan menangani masalah ini dengan segera.

“Tahun lepas pihak kerajaan berjanji membanteras sindiket ceti haram Along ini secara lebih serius lagi, namun hanya tinggal janji. Pemuda AMANAH khuatir kerana saban hari dan saban tahun semakin ramai mangsa yang terjerat dengan along.

“Justeru, kerajaan dan pihak berkuasa perlu sedar bahawa dalam kesempitan ekonomi rakyat pada hari ini dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, lubang perangkap seperti ini perlu ditutup segera bagi mengelakkan rakyat terus termakan dengan janji manis sindiket ini kelak,” katanya.

Lihat Komen