malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jangan tumpang sekaki kejayaan Petronas, kata PKR
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 8:34 AM
ADS

ULASAN Saya merujuk kepada kempen patriotik terbaru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Intipati kempen yang diberi nama 'Negaraku' itu disimpulkan di dalam ucapan yang disiarkan di blog beliau di www.najibrazak.com seperti berikut:

1. Pembangkang adalah pengkhianat yang disamakan dengan pengkhianat yang mengakibatkan serangan pencerobohan Lahad Datu.

2. Kritikan terhadap pengurusan ekonomi di bawah kepimpinan beliau adalah sama dengan usaha mengkhianati dan mensabotaj ekonomi negara.

3. Isu-isu berkaitan gejala rasuah, kegagalan pentadbiran ekonomi dan masalah kewangan negara meruncing yang dibawa oleh pembangkang hampir mensabotaj pelaburan asing ke negara ini.

Saya mengutuk keras cubaan terang-terangan Najib menyamakan diri beliau dengan negara dan tanahair. Intipati kempen Negaraku yang ditulis sendiri oleh Najib cuba mengaitkan bahawa sebarang kritikan terhadap kelemahan dan kegagalan beliau sebagai perdana menteri adalah serangan sabotaj terhadap negara Malaysia.

Adalah sangat menjijikkan apabila menyamakan Malaysia dengan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pelaburan Arab Saudi

Malah, dakwaan beliau kononnya kritikan terhadap kepimpinan beliau bersabit masalah kewangan negara yang meruncing telah membawa kesan kepada pelaburan Arab Saudi (dan pelaburan-pelaburan asing lain) ke negara ini juga adalah tidak benar.

Pelaburan RM32 billion yang diwar-warkan oleh Najib adalah usahasama projek petrokimia di antara syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi dengan Petronas di kompleks petrokimia Pengerang (RAPID).

Saya menghabiskan dua pertiga dari kerjaya di Petronas dalam sektor perniagaan petrokimia, bermula di peringkat operasi dan kewangan di kilang petrokimia dan berakhir di pengurusan korporat di bahagian perniagaan petrokimia yang menguruskan keseluruhan operasi Petronas dalam bidang petrokimia di seluruh dunia.

Saya sertakan petikan-petikan dari laporan tahunan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) yang mengumpulkan semua anak syarikat operasi petrokimia Petronas yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Saya ingin menarik perhatian rakyat kepada perkara-perkara berikut (mengenai pelaburan asing ke bidang petrokimia):

1. Nilai aset bersih pelaburan petrokimia Petronas setakat tahun kewangan 2015 (dan tidak termasuk RAPID) telah mencecah RM31 bilion. Itu pun setelah mengambil kira susut nilai selama lebih 20 tahun, bermakna jumlah nilai pelaburan (dana yang dilaburkan Petronas sejak 1990an) saya anggarkan melebihi RM50 bilion.

2. Projek petrokimia telah diusahakan dan dijayakan Petronas sejak awal 1990an lagi dan melibatkan konglomerat petrokimia terbesar dunia (termasuk Dow, BASF dan lain-lain) seperti yang ditunjukkan di dalam kronologi perkembangan penglibatan Petronas di dalam petrokimia.

Bukan kejayaan Najib

Tujuan saya menimbulkan perkara ini adalah untuk menangkis cubaan Najib mempolitikkan dan mencuri kejayaan Petronas memuktamadkan perjanjian usahasama dengan syarikat minyak milik Kerajaan Arab Saudi; seolah-olah ia kejayaan peribadi Najib sendiri.

Cubaan menyamakan kejayaan negara sebagai kejayaan peribadi beliau sebagai perdana menteri adalah sama seperti menyamakan kritikan terhadap kegagalan beliau sebagai kritikan terhadap negara.

Yang patut mendapat pujian dan dibanggakan hasil dari perjanjian usahasama yang membawa masuk komitmen pelaburan dari syarikat milik kerajaan Arab Saudi sebenarnya adalah kepimpinan Petronas, PCG dan ribuan pekerja Petronas yang telah membina Petronas sebagai salah sebuah syarikat petrokimia terbesar di Asia.

Kemahiran dan kecemerlangan Petronas sebagai syarikat petrokimia sudah tentu menarik minat syarikat-syarikat petrokimia dan minyak lain di seluruh dunia.

Sebab itu, semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1997-1999, pada masa itulah pelaburan terbesar petrokimia berlaku iaitu pembinaan besar-besaran kilang-kilang petrokimia di Kerteh dan Gebeng yang menunjukkan pelaburan besar dalam bidang petrokimia sebegitu terpisah dari kemelut politIk yang berlaku sejak tercetusnya reformasi dalam tahun 1998.

Reputasi Petronas di mata dunia

Syarikat-syarikat petrokimia dunia pada ketika itu (seperti Dow dan BASF) datang menjalankan usahasama dengan Petronas kerana tahu ada keuntungan besar yang mereka boleh perolehi hasil dari reputasi Petronas dan kekayaan gas asli (yang menjadi bahan asas mengilang petrokimia) negara.

Sama juga dengan keputusan pelaburan berhubung RAPID yang mengambil kira keuntungan jangka panjang pelaburan dan bukannya siapa perdana menteri pada ketika itu.

Sebagai sebahagian dari pengurusan yang pernah terlibat dengan pelaburan petrokimia Petronas, saya beranggapan persetujuan usahasama di antara Petronas dan syarikat milik kerajaan Arab Saudi adalah kerana Petronas berjaya membuktikan potensi pelaburan jangka panjang di dalam projek itu, bukannya kerana Najib.

Saya akan melawan secara berterusan sebarang usaha Najib cuba menumpang sekaki kejayaan rakyat Malaysia dan usaha menyamakan kritikan terhadap beliau sebagai sabotaj terhadap negara.

Malah, kempen itu seolah-olah menciplak kempen "Negara Ini Ku Bina Semula" atau "Rebuilding Our Nation" yang dijalankan oleh pihak Pakatan Harapan dengan kerjasama INVOKE di media sosial seperti yang ditunjukkan di laman rasmi FB Pakatan Harapan di www.facebook.com/pakatanharapanrasmi.

Saya seru rakyat Malaysia menyertai usaha menyekat Dato' Seri Najib menumpang sekaki atas kejayaan orang lain seperti ini.


RAFIZI RAMLI merupakan naib presiden PKR merangkap anggota Parlimen Pandan. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan semestinya membayangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen