malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lelaki ditahan atas dakwaan buat kenyataan jelik ke atas PM
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 6:20 AM
Dikemaskini: Mar 21, 2017 3:03 AM
ADS

Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan polis semalam selepas didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial pada 16 Mac lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu ditahan pukul 1 tengah hari semalam di Pulau Pinang berikutan kenyataan dibuatnya yang dipercayai boleh menggugatkan keharmonian serta kesejahteraan negara.

"Pada 16 Mac lalu, polis Johor menerima beberapa laporan berkaitan penyalahgunaan media sosial itu dengan satu kenyataan jelik terhadap perdana menteri dan polis telah membuat tindakan susulan.

"Suspek ditahan di sebuah restoran di Tingkat 2, ICT Mall Komtar, Georgetown dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan petang semalam.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap perdana menteri melalui laman Facebook.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu atau untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

"Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, hormat menghormati serta sifat kesopanan dan kesusilaan di antara satu sama lain adalah begitu penting dalam menjamin keharmonian sesebuah negara.

"Saya juga mengingatkan bahawa polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit," tegasnya.

- Bernama

Lihat Komen