'Tiada siaran langsung sebab Dr M bukan ketua pembangkang'

Zulaikha Zulkifli
(Dikemaskini )

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu, status Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam pembangkang mungkin antara punca tiadanya liputan debat secara langsung di televisyen.

Malah menurut menteri kebudayaan dan pelancongan itu lagi, debat yang akan diadakan Sabtu depan merupakan debat antara individu dan bukan antara kerajaan dan pembangkang.

"Ya (tak ada secara langsung) sebab Tun (Mahathir) tiada jawatan. Dia bukan ketua pembangkang. Kalau dia ketua pembangkang mungkin kita (akan) jadi macam pembangkang lawan kerajaan.

"Sebab saya pun bukan ketua kerajaan. (Debat) ini individu-individu. Kalau antara individu tak penting, tak boleh guna saluran kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Penyokong Umno tak perlu hadir

Selain itu, Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas turut menyarankan agar penyokong Umno dan BN tidak perlu hadir pada debat berkenaan.

Katanya, debat tersebut diadakan bukan untuk beliau bercakap kepada orang Umno sebaliknya untuk memberi penjelasan kepada pembangkang.

"Saya minta orang Umno, BN tak payah datang. Saya tak ada masalah, saya seorang pun boleh pergi.

"Lagi bagus (orang Umno, BN tak datang), saya bukan nak bercakap dengan wakil Umno, saya nak bercakap dengan pembangkang.

"Biar mereka dengar penjelasan saya," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada beliau tidak kisah jika debat itu tidak dihadiri penyokong Umno dan BN, Nazri berkata:

"Saya tak kisah," katanya ringkas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengesahkan, akan membenarkan majlis debat di antara Nazri dan Mahathir di Kuala Kangsar, Perak pada 25 Mac ini.

Debat yang dijadualkan akan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar itu dijangka akan menyentuh isu berbangkit dalam negara antaranya skandal 1MDB dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Nazri turut memberi jaminan debat tersebut akan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni dan beliau tidak meletakkan sebarang syarat atau terma tertentu dalam penganjuran debat berkenaan.

 


Artikel berkaitan

Share