malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'PAS ambil pandangan Hadi selaku pemimpin tertinggi'
ADS

Selepas kenyataan bercanggah di antara timbalan presiden dan presiden PAS mengenai hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), seorang lagi pemimpin PAS tampil menjelaskan kekeliruan.

Mesejnya adalah jelas: PAS hanya akan menerima pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi parti Islam itu.

"Saya rujuk kepada kenyataan presiden semalam. Kita kena pakai kenyataan presiden. Tidak ada percanggahan," kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

"Pandangan beliau kita kena ambil sebagai pandangan pimpinan tertinggi, (sebab) nanti (pada akhirnya) presiden akan beri taklimat kepada kita (dan ahli akar umbi).

"Presiden mesti sudah ada pendiriannya kerana kepimpinan dia selaku presiden parti.

"Kalau tidak, apa guna jadi presiden," kata Idris pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Titiwangsa ke-32 di auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai kenyataan Abdul Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat bercanggah berhubung kerjasama dengan BERSATU.

Menurut Idris, tidak timbul sebarang kekeliruan memandangkan kenyataan Tuan Ibrahim dikeluarkan sebelum kenyataan dibuat Hadi.

"Kenyataan Tuan Ibrahim adalah sebelum apa yang dikeluarkan oleh presiden. Pandangan presiden kita kena pakai sebab ada pemberat (kelebihan) sebagai pimpinan dan presiden parti.

"Sebagai prinsip kita, apa yang dikeluarkan oleh presiden ada kelebihan, tidak perlu kita pertikaikan.

"Sebab keputusan muktamad adalah di tangan PAS pusat," katanya.

Rabu lalu,  Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS tidak lagi mempunyai hubungan dengan BERSATU ekoran keputusan parti berkenaan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata pandangan Mohd Amar itu bukan pendirian rasmi parti, sebaliknya bersifat peribadi.

Katanya, setakat ini PAS belum membuat keputusan rasmi berhubung kerjasama parti itu dengan BERSATU.

Bagaimanapun, Abdul Hadi kemudian menyatakan PAS telah membuat keputusan tidak akan mengadakan kerjasama rasmi dengan BERSATU seperti mana disebut Mohd Amar.

Lihat Komen