malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MP tuntut janji jadikan bangunan Matic tapak warisan
Diterbitkan:  Mar 19, 2017 11:25 AM
Dikemaskini: 3:33 AM
ADS

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mahu kerajaan membantu merealisasikan janji untuk menggazet semula Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) atau Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai bangunan warisan.

Ini selepas kerajaan membatalkan gazet bangunan berkenaan dan kawasan sekitar di sepanjang Jalan Ampang bagi membolehkan pembangunan di plot bersebelahan, tetapi berjanji memperkenalkan semula status warisan khusus untuk bangunan itu.

Ong berkata beliau telah membangkitkan perkara itu di parlimen dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu bahawa kerajaan berniat menjadikan bangunan itu sebagai tapak warisan.

"Menteri itu juga memberi saya jaminan lisan bahawa apa-apa pembinaan yang akan mengambil tempat di sebidang tanah bersebelahan dengan Dewan Tunku Abdul Rahman adalah sejajar dengan syarat yang ditetapkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, termasuk mempunyai zon penampan sebagai perlindungan bagi tapak warisan itu.

"Saya mengalu-alukan keputusan ini oleh menteri untuk memastikan bahawa bangunan penting dalam sejarah Malaysia di tengah-tengah Kuala Lumpur akan dipelihara dan dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Dalam pada itu, kita akan menunggu untuk penyiaran notis awam yang mengesahkan bahawa Dewan Tunku Abdul Rahman telah secara rasmi ditetapkan sebagai tapak warisan," katanya.

Ong berkata notis yang disiarkan oleh kerajaan pada 26 Januari hanya menyatakan niat dan belum lagi secara rasmi menetapkan bangunan itu sebagai tapak warisan.

"Sebagai rakyat yang mengambil berat tentang sejarah dan warisan negara kita, kita mesti meneruskan usaha kita untuk melindungi tapak warisan yang penting bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi di seluruh negara juga," katanya.

Bangunan itu mencatatkan sejarah sebagai  tempat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama pada tahun 1957, selain digunakan untuk mesyuarat parlimen pertama di Malaysia.

Lihat Komen