'Bagaimana nak dakwa berkaitan 1MDB bila k'jaan enggan beri gambaran lengkap?'

(Dikemaskini )

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membidas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani kerana mendakwa bahawa Malaysia tidak boleh membuat pendakwaan berkaitan 1MDB tanpa gambaran yang lengkap, dan Pua mendakwa tiada usaha oleh kerajaan untuk berbuat demikian.

"Sudah tentu kita perlukan cerita yang lengkap untuk mendakwa mana-mana orang untuk jenayah. Bagaimanapun, persoalannya ialah perlu ada usaha bersepadu untuk menyiasat jenayah itu.

"Dari apa yang kita boleh lihat berlaku di Malaysia pada masa ini, tidak ada usaha sama sekali untuk menyiasat jenayah yang semua orang boleh lihat telah berlaku di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Johari dipetik oleh Edge Financial Daily sebagai berkata malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara tidak dapat memberitahu secara khusus apa yang tidak kena.

Johari dilaporkan berkata bahawa pemindahan wang kepada akaun-akaun dan sebagainya adalah hanya separuh cerita. "Jika anda mahu mendakwa orang, anda perlukan cerita yang lengkap," Johari dilaporkan berkata.

Bagaimanapun, Pua yang juga anggota PAC, menyangkal dakwaan Johari.

"Tolong jangan beritahu separuh benar kepada rakyat Malaysia... Ketua Audit Negara telah menemui banyak kesalahan yang telah disebut di dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang Kabinet telah putuskan untuk dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) .

"Ini walaupun pada hakikatnya 1MDB telah enggan berkerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara dengan menafikan akses AG terhadap dokumen perbankan penting anak-anak syarikatnya di luar negara.

"Tetapi malah apa yang sedikit yang didedahkan dalam laporan PAC itu mencukupi bagi PAC membuat kesimpulan mengenai salah laku besar pihak pengurusan.

"PAC telah secara khusus menuntut bahawa (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Datuk Shahrol Halmi disiasat kerana peranannya dalam menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada 1MDB dan kerajaan Malaysia," katanya.

Pua turut membidas Johari kerana mendakwa mereka yang telah didakwa di Singapura berkaitan skandal 1MDB adalah rakyat Singapura dan tiada kaitan dengan dengan Malaysia.

"Menteri itu jelas berpura-pura jahil kerana kes Singapura jelas menamakan pihak yang melakukan pengubahan wang itu termasuk Jho Low, bapanya Larry Low dan rakan-rakannya lain yang merupakan rakyat Malaysia," katanya.

Bukti-bukti, tambahnya, termasuk transaksi perbankan telah dikemukakan kepada mahkamah yangmenunjukkan bagaimana dana itu yang dicuri dari 1MDB telah disalahgunakanya.

Tambahan pula, kata Pua, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah juga dengan jelas mengemukakan bukti dokumentari bagaimana dana berjumlah lebih daripada AS$5.6 bilion telah disalurkan dari 1MDB dan melalui pengubahan di luar negara.

[Baca berita penuh]

Share