malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Segerakan rundingan dengan BERSATU
Diterbitkan:  Mar 17, 2017 6:32 PM
Dikemaskini: 10:38 AM
ADS

Pakatan Harapan perlu menyegerakan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan semua “pihak lain yang sealiran”, kata Anwar Ibrahim.

Ini demi memantapkan agenda reformasi dan dasar bersama, kata tokoh pembangkang itu.

“Kesudian BERSATU untuk menyertai HARAPAN harus dilihat secara positif kerana ia akan mengukuhkan kekuatan pembangkang dalam persediaan menggantikan BN sebagai kerajaan melalui pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Mac lalu mengumumkan akan membuat permohonan rasmi menyertai HARAPAN.

Bekas perdana menteri itu juga mencadangkan nama HARAPAN ditukar serta satu lambang diperkenal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam kenyataan dari penjara Sungai Buloh, Anwar berkata pembangkang hanya memerlukan sedikit lonjakan sokongan untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya yakin, Insha-Allah, ini akan dapat dicapai memandangkan masalah ekonomi dan skandal berlarutan dalam negara yang belum pernah dialami sebelum ini,” katanya.

Beliau membangkitkan pelbagai kontroversi melanda negara, termasuk isu 1MDB, Felda, Tabung Haji dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) – yang dianggapnya sebagai “pengkhianatan” kepada bangsa dan negara.

Lihat Komen